Ketakutan Tidak Berasas Terhadap Islam oleh Orang Islam

277

Satu demi satu enakmen syariah negeri-negeri dicabar. Terkini, terdapat pula individu beragama Islam yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

Sedih sungguh. Apa yang mereka ini takutkan sangat dengan undang-undang Islam? Sehinggakan sanggup mencabar lebih kurang 20 peruntukan dalam enakmen ini termasuklah dalam kesalahan judi.

Anehnya, mengikut laporan akhbar, mereka ini tidak menetap di Kelantan dan tidak pernah didakwa atau disabitkan apa-apa kesalahan di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.

Malang sungguh apabila undang-undang Islam ini ditolak oleh orang Islam sendiri sedangkan rakyat Kelantan termasuklah orang bukan Islam yang menetap di Kelantan tiada masalah dengannya.

Hasil kajian daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menunjukkan bahawa majoriti rakyat Kelantan termasuk yang bukan beragama Islam percaya bahawa sebatan syarie di tempat terbuka tidak akan menjejaskan secara langsung ekonomi dan kepentingan bukan Islam.

Barangkali pencabar ini dan ‘kumpulannya’ bimbang akan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) / RUU 355 yang tinggal satu langkah sahaja lagi daripada dibentangkan di Parlimen.

Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU 355 pada 26 Ogos 2022. Draf RUU 355 juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022.

Kita sasarkan bacaan pertama RUU ini akan dibentangkan pada akhir Oktober dan diluluskan pada bulan November 2022, sayangnya terbantut kerana pembubaran awal Parlimen.

Tidak betul sama sekali mulut-mulut yang bercakap bahawa setelah menjadi Kerajaan, PAS tidak berbuat apa-apa untuk RUU 355.

Takkanlah PAS setelah duduk dalam Kerajaan mahu mengikut cara seperti ketika menjadi pembangkang. Pastinya PAS perlu mengikut lunas dan tertib yang betul.

Draf RUU 355 juga telah dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-27 pada 11 hingga 12 Oktober 2021.

Cadangan yang dikemukakan oleh negeri-negeri telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil yang diadakan pada 29 Mac 2022.

Penglibatan negeri-negeri dalam pindaan RUU 355 ini amat penting kerana apabila RUU ini diluluskan dan dikuatkuasakan, negerilah yang akan membuat pertimbangan dan pindaan susulan sama ada untuk mengekalkan atau meminda hukuman bagi kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing.

Inilah keunikan RUU 355 yang tidak ada pada RUU Kerajaan yang lain.

PAS sudah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di Kelantan pada tahun 1993 lagi, tetapi PAS tidak terburu-buru. Walaupun belum dikuatkuasakan, EKJS 1993 telah disemak, dipinda dan diluluskan pindaannya pada tahun 2015.

Meluluskan enakmen tersebut adalah satu-satunya pilihan yang PAS ada pada waktu itu, untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab pemerintah mendaulatkan undang-undang Islam serta mencapai keadilan dan keredhaan Allah.

Apabila PAS bersama dalam Kerajaan Persekutuan, kita membawa usaha pindaan RUU 355 mengikut prosedur dalam kerajaan, pada masa yang sama, usaha mendidik masyarakat kepada Islam digiatkan melalui program-program pendidikan undang-undang jenayah Islam di media-media perdana

Saya yakin dan percaya, usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam ini bukan sahaja menjadi impian PAS malahan didokong oleh ramai lagi individu berpengaruh dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan daripada pelbagai latar belakang.

Bersama-samalah kita saling menyemai usaha dan persediaan untuk satu perjuangan yang tidak pernah pudar, terutamanya dalam berdepan dengan kumpulan yang memegang prinsip “hak asasi Barat” sebagai satu agama.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
20 Oktober 2022