KUALA TERENGGANU – PAS menyeru ibu bapa dan ahli keluarga serta orang ramai mengambil langkah pro-aktif menjaga keselamatan anak-anak bagi menghindari kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Mohd Azrin Aris berkata Pemuda PAS sangat memahami kerisauan dan keresahan yang sedang dialami masyarakat setempat, susulan tersebarnya berita mengenai insiden cubaan menculik dan melarikan kanak-kanak oleh warga asing.
“Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu meminta semua jentera pemuda PAS di semua peringkat agar menjadi mata telinga memantau keselamatan dan membantu orang awam bagi mencegah berlakunya kejadian yang tidak diingini,
Beliau berkata, walaupun pihak polis telah membuat kenyataan rasmi bahawa tiada kejadian culik yang berlaku, namun kawalan keselamatan dan rondaanoleh pihak polis dan agensi keselamatan mestilah dipertingkatkan dan diperketatkan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama penduduk yang melihat atau mengetahui sebarang kejadian yang mencurigakan atau pun berunsur jenayah, agar tampil membuat laporan polis supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.
Beliau juga memberikan ingatan agar semua premis institusi pendidikan dan pusat asuhan bayi serta kanak-kanak, pra sekolah dan sekolah-sekolah khususya PASTI yang di bawah pentadbiran Dewan Pemuda PAS agar mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan pada setiap masa.
Katanya, suasana ekonomi yang tidak menentu dan tekanan hidup, akan meningkatkan kadar masalah sosial dan jenayah.
“Dengan suasana ekonomi yang parah sekarang dan tekanan hidup, jenayah dan penjenayah baru akan sentiasa muncul dan bertambah.
“Mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun membunuh. Justeru itu , masyarakat diseru untuk kembali kepada Islam dan keseuruhannya,”tambah beliau