Kesal Dihalang bersama Meraikan Perpisahan

1724

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman merasa kesal dihalang berada di Majlis Perpisahan Guru Besar di DUN berkenaan.

Sedangkan, katanya beliau dijemput khas ke sekolah tersebut oleh guru besar namun kehadirannya dihalang dari berada di dalam majlis tersebut.

“Saya sebagai wakil yang diamanahkan oleh kerajaan sebagai Pegawai Penyelaras DUN merasa terpanggil untuk hadir bagi menghargai segala jasa dan pengorbanannya sehingga meninggalkan sementara segala urusan penting.

“Niat saya untuk berada sementara sahaja tidak sampai tengahari pun kerana untuk bagi hadiah yang telah berjasa mendidik anak bangsa di sini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kepada wartawan Buletin Online, disini, pada hari ini.

Katanya,guru besar adalah figura penting di dalam membantu kecemerlangan sesebuah sekolah sewajarnya beliau turut memberi penghargaan.

“Kerana itu kita ingin meraikan, lagipun hubungan saya dengan guru besar berkenaan amat baik.

“Saya rasa tidak berbaloilah dengan apa yang telah kita berikan dan sumbangkan selama ini melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada panitia sekolah telah selalu kita hulurkan bagi membantu dan memudahkan pembangunan sekolah tersebut,” katanya.

Beliau yang kecewa dengan gelagat dua orang guru di sekolah tersebut yang bertindak menghalangnya sebanyak dua kali untuk turut serta dalam majlis tersebut.

“Mereka mendakwa ianya di atas arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berkemungkinan dipengaruhi oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) setempat.

“Cikgu pertama halang dengan ajak minum apabila saya berada ketika menyaksikan persembahan silat gayong oleh pelajar.

“Saya akur dan saya beredar, kemudian dipanggil urusetia akhirnya sekali lagi seorang guru menghalang saya supaya tidak berada didalam majlis yang diadakan dengan mengajak ke kantin, sedangkan majlis sedang berjalan,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun, beliau sempat meraikan para petugas, anak-anak muda yang mengiringi guru besar dengan motor, anak-anak serta masyarakat setempat.

“Walaupun demikian kita mendoakan dari jauh agar guru besar yang banyak berjasa akan terus berkhidmat kepada masyarakat didalam masa akan datang dengan pengalaman yang ada.

“Serta semua guru-guru yang ada di DUN Bukit Besi diharapkan agar terus mendidik anak-anak bangsa di sini yang berada di kawasan pedalaman dengan jayanya, Insya-Allah,” tambah Ghazali.