Oleh : Haji Hanafiah Mat @ Ramly
Kes curi tau rompak bagaikan tiada penyelesaian dan tak dapat dibendung, boleh dikatakan peratusan yang sangat tinggi penduduk di Terengganu pernah menjadi mangsanya, bezanya hanya jumlah kerugian yang ditanggung.
Dari curi selipar hinggalah kepada mencuri manusia. Tidak kira siapa sehingga keluarga terdekat ibu, bapa, atuk, nenek juga menjadi manga. Pernah dilaporkan anak membunuh nenek untuk mendapatkan atau mencuri duit berlaku. Masyarakat semakin fobia serta sehingga menyebabkan kerisauan melampau dengan keadaan semasa yang semakin meruncing ini.
Ada sesetengah mangsa yang sehingga belasan kali premis kediaman atau perniagaannya dimasuki pencuri. Laporan dibuat dan setengahnya dimaklumkan tangkapan serta hukuman kepada pencuri telah dijatuhkan dan berjalan. Namun, kes kecurian masih terus berlaku dan bertambah.
Kes Sdr Zulkifli terkini berlaku dikawasan kemasyarakatan kami (kampung Labohan, Kerteh, Kemaman) berkemungkin kesan dari kerisauan melampau yang berlaku terhadap penduduk setempat. Manakan tidak, kecurian bukannya berlaku waktu malam dan pada premis yang tidak berjeriji.
Pada sesetengah kes, pencuri bukan sahaja menceroboh dari pintu atau tingkap, mereka juga telah memasuki premis melalui bumbung. Apa lagi yang boleh dilakukan, tidaklah sehingga diseluruh bumbung @ syiling premis kediaman pun terpaksa diletakkan jeriji yang sudah pasti ia bakal menjadi sebuah premis yang melebihi sebuah penjara kepada masyarakat yang tidak bersalah ini.
Penerangan merujuk perundangan yang digunapakai kerajaan malaysia hari ini telah dikongsi oleh pakar-pakar perundangan kita dari seluruh Malaysia dan hampir keseluruhan kita yang rajin membaca dan mudah memahaminya dapat maklumat lengkap. Namun, kami yakin dan percaya masih ramai masyarakat diluar sana yang tidak membaca, mengetahui malah memahami segala keadaan dan suasana yang mewajarkan kita untuk bertindak.


Apakan tidak, pencuri yang bersalah dan hampir kebanyakan mereka tidak mempunyai tanggungan keluarga, mereka masuk penjara 2 tahun yang didalamnya mereka disediakan segalanya makan, minum dan penginapan oleh kerajaan malah mereka juga mungkin dapat berbincang sesama pencuri didalam tahanan kaedah-kaedah baru untuk mencuri nanti apabila mereka selesai hukuman.
Manakala masyakat pula yang sudah pasti mempunyai tanggungan yang besar akan ditimpa musibah bagaikan jatuh ditimpa tangga. Tidak dapat bekerja, habis duit yang banyak untuk mempertahankan diri, keluarga ditinggalkan dan pelbagai masalah dan tekanan lain yang bertimpa-timpa.
Kita orang Islam khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya yang agama tertinggi dan rasmi bagi Negara Malaysia ini adalah Islam perlu merujuk kepada apa yang telah diberikan oleh Allah selaku tuan yang mencipta manusia yang sudah pasti dan semestinya mengetahui bagaimana cara dan kaedah terbaik untuk menjaga manusia atau makluk yang Dia cipta.
Dari sudut pandangan Islam, pencuri yang telah sabit dengan bukti atau pengakuan, maka kerajaan Islam wajib melaksanakan hukuman memotong tangan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 38. Ia tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana individu atau kelompok kecil masyarakat tanpa kerajaan Islam yang berdaulat. Dalam kes rompak pulak, jika ia merompak dan mengambil harta tetapi tidak membunuh, maka hukumannya dipotong sebelah tangan dan sebelah kakinya. Jika ia merompak, mengambil harta dan membunuh mangsa, maka dijatuhkan hukuman dibunuh dan disalib (gantung mayatnya).
Hukuman mengerikan ini bagi memberikan kebebasan kepada seluruh rakyat. Bukan kebebasan serta keberanian kepada perompak.
Kami sangat merasa dukacita dan bersolidariti dengan apa yang telah berlaku kepada Saudara Zulkifli dan keluarga dan InsyaAllah akan terus bersama-sama membantu. Kami percaya kejadian malang ini bukan hanya berlaku terhadap keluarga Saudara Zulkifli sahaja malah ramai lagi yang mungkin menghadapi kejadian yang sama.
Kami juga dalam masa yang sama mendesak kerajaan untuk menggunakan undang-undang yang Allah sediakan bagi mengantikannya dengan undang-undang yang manusia sendiri buat kerana kami yakin Allah lebih tahu kaedah mana untuk menjaga manusia berbanding manusia yang dicipta Allah.
***YB Haji Hanafiah Mat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu





























