Kes Cerai Di Terengganu Menurun Tahun Ini

713

KUALA TERENGGANU: Kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam di Terengganu menurun kepada 1,753 pasangan, tahun ini berbanding 4,132 kes tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, perangkaan itu berdasarkan kes perceraian/pembubaran perkahwinan yang didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh negeri setakat 27 Oktober lalu.

Katanya, daripada jumlah itu Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi dengan 680 pasangan diikuti Kemaman (430 kes), Dungun (389 kes), Besut (361 kes), Marang (292 kes), Hulu Terengganu (143 kes) Setiu (134 kes) dan Mahkamah Tinggi Rayuan (empat kes).

“Punca utama perceraian ialah kerana pasangan kurang penghayatan agama di samping tiada persefahaman. Alasan lain termasuk faktor ekonomi, masalah kewangan, pengaruh media sosial, pasangan tidak bertanggungjawab, campur tangan keluargaatau bekas pasangan dan kehadiran orang ketiga.

“Kegagalan berkomunikasi dengan baik, ketidakadilan dalam poligami, masalah ketagihan dadah, pasangan dalam penjara, keganasan rumah tangga dan personaliti turut menjadi faktor suami isteri bercerai,” katanya ketika menjawab soalan lisan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, yang ditangguhkan Khamis lalu.

Mohd. Nor berkata, kebanyakan mereka yang terlibat perceraian berusia antara 21 hingga 65 tahun.