Kes Calon PKR Bukit Besi: Presiden PAS Ikrar Afidavit

1546

KUALA TERENGGANU- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir ke Kompleks Mahkamah di sini pada Khamis, mengikrarkan satu afidavit bagi menyokong satu permohonan yang akan diserahkan kepada peguam plaintif berkait kes saman RM2 juta bekas calon Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin.

Namun begitu, menurut peguam yang mengiringinya, Saifuddin Othman, isi kandungan dan tarikh penyerahan permohonan itu masih dirahsiakan.

Turut sama mengiringi Ustaz Abdul Hadi adalah kira-kira sepuluh orang ahli dan penyokong PAS.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi, di sini, memerintahkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu didakwa gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Sebaliknya, Mahkamah yang sama pada 5 April lalu telah mengetepikan perintah penghakiman ingkar tersebut, apabila bersetuju dengan alasan atau hujah yang diberikan oleh pihak Ustaz Hadi bahawa penyampaian writ saman itu tidak sempurna.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tahun lalu.

Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda, sekaligus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Plaintif sebelum ini menghantar surat kepada Hadi menuntut permohonan maaf secara terbuka.

Namun dalam surat balasnya, Presiden PAS itu menafikan pernah mengaitkan plaintif dengan kegiatan penagihan pil kuda.