Kerajaan Digesa Dedahkan Kerugian MAS Kepada Rakyat

739

Pemuda PAS menggesa pihak Malaysian Airlines System (MAS) mengemukakan satu laporan khas mendedahkan faktor kerugian yang menjangkau RM 1.17 bilion pada tahun 2013 berbanding RM 432.59 juta pada tahun 2012.

“Saya menggesa pihak Malaysian Airlines System (MAS) mengemukakan satu laporan khas mendedahkan faktor kerugian yang menjangkau RM 1.17 bilion pada tahun 2013 berbanding RM 432.59 juta pada tahun 2012.

“Pendedahan ini perlu memandangkan MAS telah mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 9.92% iaitu RM 15.12 bilion berbanding RM 13.76 bilion,”ujar Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin

Beliau berkata, ia antara prestasi terburuk selepas MAS telah mencatatkan kerugian mega berjumlah RM 2.52 bilion pada tahun 2011.

Ir Khairil Nizam KahiruddinGesaan dibuat beliau supaya rakyat dapat mengadili sebaiknya bagaimana keberkesanan langkah pemulihan perniagaan MAS yang telah diumumkan sekitar tahun 2011 yang lalu.

“Saya juga tidak mahu seandainya kerugian ini berpunca daripada penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepertimana kes yang pernah dikaitkan dengan Tan Sri Tajuddin Ramli dulu.

“Kertas laporan yang akan dibentangkan tersebut mestilah telus dan diaudit secara independen oleh pihak luar. Ini kerana terdapat beberapa pihak termasuk dalam UMNO sendiri yang mendakwa wujud tangan ghaib termasuk melantik orang luar negara untuk menjawat jawatan penting dalam syarikat berkenaan,”jelasnya

Begitu juga, katanya, pengumuman yang dibuat pada 12 Februari 2014 yang menyatakan bahawa MAS telah menandatangani perjanjian 10 tahun Fleet Management Program bernilai USD 510 juta bersama Pratt & Whitney yang beroperasi di Hartford, Connecticut.

Oleh sebab itu, beliau berharap agar laporan khas tersebut dibentangkan untuk dinilai rakyat. Ini juga bertujuan untuk menilai semula pelan perniagaan membabitkan lima inisiatif pemulihan syarikat tersebut pada tahun 2012.