Kerjasama PN-BN Bukan Wayang Politik!

74

KUALA TERENGGANU – Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar “wayang politik”, sebaliknya lahir daripada komitmen sebenar kedua-dua pihak.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan dakwaan bahawa kerjasama itu hanya bersifat sementara atau sekadar sandiwara politik adalah tidak berasas kerana jentera daripada kedua-dua parti sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang sendiri sepanjang kempen.

“Bukan wayang, kita habis duit. Orang PAS pergi belanja sendiri, penuh tenaga termasuklah orang UMNO juga habis duit. Wayang apa itu?” jelasnya ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha, hari ini.

Mengulas sejarah hubungan PAS dan Umno yang pernah melalui beberapa episod kerjasama dan perpecahan, Abdul Hadi menyifatkan keadaan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Menurut beliau, perbezaan antara kedua-dua parti hanyalah dari sudut pendekatan, bukannya dasar, kerana PAS berteraskan Islam manakala Umno berteraskan Melayu yang menurut beliau tidak dapat dipisahkan.

“PAS berdasarkan Islam, Umno berdasarkan Melayu.

“Melayu dengan Islam ni tak berpisah. Orang-orang China masuk Islam kata masuk Melayu. India masuk Melayu. Melayu itu Islam. Kita berbalah pendekatan sahaja. Dasar tak berbeza,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama antara PN dan BN kali ini dapat berkekalan demi memastikan kestabilan politik serta menyelamatkan negara.