Kerajaan Tiada Rancangan Khusus Bantu Pelajar Ke Luar Negara

1148

KUALA TERENGGANU – Kerajaan tiada rancangan khusus bantu pelajar ke luar negara, berikutan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan negeri.

Sidang Dewan Undangan Negeri yang bersidang swmalam diberitahu, bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan khusus bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang anak-anak Terengganu dihantar belajar ke luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata setakat ini rancangan kedua ialah meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri menaja beberapa orang pelajar terpilih.

Akan tetapi tambah beliau lagi, rancangan itu hanyalah melibatkan beberapa orang pelajar sahaja bagi setiap GLC yang menajanya.

“Kita ada pelan yang kedua. Dalam mesyuarat bulan yang lalu, kita telah memohon daripada setiap GLC-GLC (kerajaan) negeri.

“Daripada SATU, TDM, EPIC dan sebagainya, menaja dua atau tiga orang mengikut kemampuan mereka untuk pelajar-pelajar yang cemerlang ini untuk dihantar ke luar negara.

“Kerana kita juga sayang potensi mereka yang ada dapat sampai 10A ‘plus’,”jelasnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Wakil Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah (PAS) yang bertanyakan apakah rancangan kerajaan bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang yang gagal dihantar ke luar negara kerana masalah kewangan kerajaan.

Menurut Ghazali lagi, kerajaan negeri juga sehingga kini belum mahu lagi menggunakan wang daripada Tabung Amanah Warisan Negeri bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang ini melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara.

Baru-baru ini Yayasan Terengganu telah mengumumkankan untuk memberhentikan penghantaran pelajar-pelajar cemerlang tajaan mereka ke luar negara kerana masalah kewangan yang dihadapi kerajaan negeri.

Wakil Paka YB Ustaz Satiful Bahari Mamat (PAS) pula turut bangun bagi menyampaikan kerisauan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang belajar di luar negara tajaan kerajaan negeri yang sehingga kini masih belum menerima wang saran mereka bagi bulan Januari.

Sambil mengucapkan terima kasih atas kepekaan YB Ustaz Satiful Bahari itu, Ghazali mengakui akan kelewatan membayar wang saraan pelajar tajaan kerajaan negeri bulan ini tanpa beliau menyebutkan alasan kelewatan itu berlaku.

Sidang DUN yang diadakan bermula pada 7 hingga 9 Mac, bagi penggal ke-4, kali ke-13 itu telah dirasmikan oleh Tuanku Sultan Terengganu.