Kerajaan Mungkir Janji; Penduduk Asal Kampung Ladang Tidak Puas Hati

1383

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/ADUNLandangFlatGemilang.jpgKUALA TERENGGANU – Kampung Ladang yang terkenal dengan kegiatan seni tradisional pertukangan barangan tembaga, perak dan keris Melayu akan hilang dari bumi Terengganu.

Wakil penduduknya, Ibrahim Awang berkata, penduduk asal Kampung Ladang terkilan dengan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang menaburkan janji manis sewaktu mengambil balik tanah-tanah mereka.

Menurutnya penduduk Ladang mahu kerajaan negeri memastikan pengambilan tanah dan rumah mereka diganti dengan kerajaan memberikan hakmilik pangsapuri yang mereka duduki tersebut secara skim sewabeli.

(Gambar – ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar meninjau kehidupan penduduk asal Kampung Ladang di sebuah Pangsapuri Ladang Gemilang, selepas hadir bersama 70 penduduk menyuarakan bantahan)

“Penduduk di sini mahu (memiliki) secara jualbeli terhadap bangunan ini dan biar ada ‘hitam-putih’ (perjanjian bertulis). Setakat hari ini, belum ada apa-apa perjanjian status urusan pemilikan flat tersebut. Jadi, penduduk Ladang ini pada asalnya ada rumah dan telah diambil, sekarang ini tidak ada rumah sendiri,”katanya kepada pihak media, ketika menyuarakan bantahan bersama 70 penduduk disini semalam..

Mereka juga menuntut kerajaan Terengganu menunaikan janji sebagaimana yang dibuat oleh Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

“sewaktu majlis pecah tanah oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh dahulu dia (Idris) menyatakan jika Flat Ladang ini siap kelak dia (MB) hendak beri sewa sebanyak RM126 sebulan. Tetapi, apa sudah jadi hari ini sewa telah jadi RM300 sebulan,”jelas Ibrahim

Katanya, kebanyakkan penduduk yang menyewa Pangsapuri tersebut kini bekerja sendiri, ibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’,

Oleh itu, menurutnya, jumlah sewaan RM300 sebulan itu amat membebankan dan tidak mampu dibayar oleh mereka.

Sebagai kerajaan yang mengutamakan rakyat, Ibrahim berkata, sepatutnya pengambilan balik tanah mereka ‘diganti’ juga dengan tanah tanah lain.

Beliau mengambil contoh tindakan kerajaan Terengganu sewaktu zaman Dato’ Seri Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar dahulu.

“(Kerajaan) pernah mengambil tanah di Ladang dan diganti (dengan tanah lain). Penduduk di Kampung (Ladang) Tanjung yang berpindah diberi tanah di Teluk Ketapang, Seberang Takir. Tanah penduduk dekat Primula (yang diambil kerajaan) diganti dengan tanah di Kampung Tok Adis,”jelasnya.

Selain itu, menurutnya, penduduk tidak puas hati dengan bayaran saguhati atau pampasan yang diberikan oleh kerajaan negeri keatas pengambilan balik tanah mereka.

“Penduduk (disini) yang tinggal di atas tanah kerajaan dan tanah wakaf tok pelam sejak puluhan tahun dan mencecah ratus tahun. Pemilik rumah (yang diambil balik) itu hanya diberi bayaran saguhati rumah berharga antara 2,500 hingga 8,000 sebulan,”katanya.

Sedangkan, menurutnya, pernah ada tanah milik di Kampung Mengabang yang dibeli oleh orang Cina telah dibayar kepada penduduk sebanyak RM10,000, lebih mahal dari apa yang dibayar kerajaan sendiri di Kampung Mengabang Telipot.

“Terdapat tiga buah kedai (yang diambil balik) hanya dibayar RM2,500 sebuah dan rumah penduduk pula dibayar RM6,000 hingga RM8,000 sebuah. Itu yang kita tidak puas hati.”tambahnya.

Turut hadir dalam bantahan suara hati pendudul Kampung Ladang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan itu, Dato’ Tengku Hassan Omar dan ADUN Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi