PAS merasa terkilan dengan sikap pihak berkuasa yang tidak mengambil perhatian serius terhadap masalah gejala sosial yang semakin dahsyat melanda anak muda di negara ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hari demi hari, batasan yang menjaga aturan budaya, peradaban dan kehormatan jati diri anak muda semakin longgar.
“Lebih membimbangkan, agama bukan lagi mampu menjaga dan mengawal anak muda, bahkan ia bagai berada di wad hospital untuk dijaga ‘kesihatan’nya pula.
“Tahun lalu, negara pernah digemparkan dengan kematian pengunjung konsert keras akibat pengambilan dadah yang melampau,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beberapa hari lalu, sekali lagi ia mem’bunuh’ tamadun kehidupan manusia terutamanya masyarakat islam di negara ini.
Katanya, ramai yang memerhatikan ia sebagai satu ‘bencana yang tidak dapat ditolak’ kesan dari faktor globalisasi yang tidak mampu dikawal.
Namun secara asasnya, kata beliau, ‘budaya’ itu datang dan menghancurkan kehormatan diri manusia apatah lagi pegangan agamanya tanpa ada kawalan yang wajar dan mampu dilakukan oleh pihak berkuasa negara ini.
“Kejadian anak gadis yang beragama Islam berkelakuan tidak sopan di atas pentas telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Bagi saya, selain daripada tindakan tidak beradab seperti itu, ada perkara lain yang juga perlu diperhatikan.
“Pertama, kementerian yang bertanggungjawab memberi pelepasan permit kepada ‘event’ seperti itu perlu tampil bertanggungjawab. Kedua, dewan konsert itu juga (KL Live) terdapat dua bar yang menjual arak dan telah menganjurkan banyak konsert-konsert yang melalaikan anak muda. Ini bermakna,
“konsert seperti itu bukanlah kali pertama dan terakhir, dan kemungkinan masalah yang sama tidak mustahil akan berulang lagi,”tegas beliau.
Sehubungan itu, Anggota Parlimen Pasir Mas itu menyelar kerajaan kerana gagal melihat punca permasalahan yang sedang berlaku.
“perlu dilihat kepada akar permasalahannya, bukan sekadar mencabut rantingnya. Akar perlu dicari, diteliti dan dicabut jika ia akan merosakkan bahagian-bahagian yang lain.
“Hari ini masyarakat merasa marah dan kesal terhadap apa yang berlaku, tetapi apakah ada jaminan perkara tersebut tidak akan berulang lagi?,”soal beliau
Justeru, kata beliau, pencegahan perlu dilakukan dengan lebih tegas terutamanya perkara melibatkan hiburan untuk anak muda dan minuman beralkohol.
Katanya, kedua-duanya boleh mendorong seseorang kepada zina yang akan merosakkan nilai ekonomi dan keutuhan instutusi berkeluarga dan Islam telah memberikan satu garis panduan umum yang disebutkan di dalam Al-Quran.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Kerana perbuatan zina itu suatu pekerjaan yang keji dan suatu jalan yang buruk” (Surah Al-Israk : 32)










