Kerajaan Dituntut Selesaikan Isu Rakyat

1563

Semasa perbahasan Titah Diraja lalu, saya telah menggesa agar pihak Kerajaan tidak memandang enteng berkenaan isu penghinaan nabi dan tidak seharusnya menjadikan Akta Hasutan sebagai sandaran semata-mata. Saya meminta agar pihak Kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah supaya ianya menjadi teladan kepada seluruh masyarakat.

2. Selain itu, saya juga menuntut agar Kerajaan tidak menjadikan penghapusan hukuman mati mandatori sebagai satu ruang untuk Kerajaan menghapuskan hukuman mati keseluruhannya di masa akan datang dan menuntut Kerajaan agar kembali kepada hukum qisas sebagai hukuman terbaik yang datang daripada Allah.

3. Perkara-perkara berikut telah saya bangkitkan di Parlimen;

(i) Menaik taraf jambatan Jambatan Desa Jaya Sg Tong dan Jambatan Sg Lerek. Jambatan tersebut terletak di jalan persekutuan dan disebabkan keadaan jambatan yang sempit telah mengundang bahaya kepada kemalangan jalan raya.

(ii) Menyelesaikan isu selekoh tajam di sempadan Kuala Nerus-Setiu, di hadapan Balai Polis Kg Chalok dan juga berhampiran Masjid Sungai Tong. Masalah ini juga telah mengakibatkan kemalangan maut.

(iii) Menyelesaikan isu guru duka lara secepat mungkin. Ini kerana, guru-guru yang berjauhan ini membawa kepada stress, kemurungan dan juga penceraian. Saya telah mengemukakan beberapa kes guru duka lara untuk perhatian dan tindakan menteri berkenaan.

(iv) Meninggikan ketebalan di kawasan yang selalu ditenggelami banjir iaitu jalan simpang Bandar Permaisuri ke Hulu Seladang dan Jalan Chalok Kedai ke Gong Terap.

(v) Membina pusat pemindahan banjir di kawasan yang tinggi dan selamat. Ini kerana pusat pemindahan yang sedia ada turut ditenggelami apabila tiba musim banjir.

(vi) Memastikan peneroka felda mendapat bekalan baja daripada agensi kerajaan berkaitan bukannya dari pembekal luar dengan harga yang jauh lebih mahal.

(vii) Menyelesaikan masalah perairan para petani yang turut mengakibatkan kekurangan hasil pertanian.

(viii) Menaik taraf Pondok Polis Jabi kepada balai polis dan segera menyatakan status pembinaan Balai Polis Alur Lek yang belum diberi jawapan oleh menteri .

(ix) Mencadangkan agar Kerajaan tidak melantik warden-warden sekolah dari kalangan guru dan elaun yang diperuntukan langsung tidak berbaloi dengan beban yang ditugaskan.

4. Justeru, saya menuntut agar Kerajaan segera mengambil tindakan dengan apa yang telah saya suarakan di Parlimen. Ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin.

Islam Memimpin

YB Shaharizukirnain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu