Kerajaan BN Terengganu gagal

1070

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita31/IMG_0106.jpg– masalah kemiskinan, pengangguran dan sosial tidak berubah
KEMAMAN
– Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membangunkan negeri dan rakyat Terengganu dengan kadar kemiskinan, pengangguran dan sosial yang tidak berubah, walaupun memiliki sumber kewangan yang banyak.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata di bawah pemerintahan Umno-BN, Terengganu masih kekal sebagai sebuah negeri miskin, tiada peluang pekerjaan dan masalah sosial yang semakin membimbangkan

“Cara pentadbiran tidak kena kerana masalah kemiskinan tidak selesai, masalah pengangguran masih tinggi, masalah penyakit sosial semakin bertambah kerana tidak ada suatu pendekatan yang dibuat oleh pemerintah (Umno-BN) yang ada sekarang ini.

“Tanggungjawab kerajaan ialah membangunkan negeri ini dan membangunkan rakyat. Dia (kerajaan) bukan sekadar hendak mendapat sokongan rakyat tetapi dia (kerajaan) mesti membangunkan rakyat,” ujarnya ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Tahun PAS Kawasan Kemaman, di Pekan Kemasik

Dato’ Mustafa menyifatkan kerajaan Umno-BN Terengganu salah ‘fokus’ dalam keutamaan mentadbir negeri serta tidak menepati sasarannya.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan tidak banyak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta berlaku pembaziran.

“Ini kerana, pemimpin-pemimpin yang mentadbir negeri ini salah ‘fokus’, salah dari segi keutamaan yang diletakkan kerana duit habis tetapi tidak sampai kepada sasaran (rakyat).

“Saya tidak kata (tuduh) tidak ada pembangunan langsung tetapi pembangunan itu tidak ‘nampak’ (hasil). Zaman Idris Jusoh (Menteri Besar) banyak berlaku pembangunan yang tidak mendatangkan hasil kepada rakyat, berlaku pembinaan dan duit banyak habis.

“Sekarang ini, zaman Ahmad Said yang jadi Menteri Besar dan kita (rakyat) masih tidak ‘nampak’ (hasil) apa pembangunan yang dijalankan.

“Zaman Dato’ Seri Idris Jusoh (MB) ‘bazir’ dan zaman Dato’ Seri Ahmad Said (MB), saya tidak ‘nampak’ (hasil) apa pembangunan yang dilaksanakan. Maksud, saya bukan tidak ada langsung pembangunan tetapi tidak ‘nampak’ (manfaat) untuk membangunkan agama, untuk membangunkan umat dan  masyarakat,” jelasnya.

Selain itu, katanya rakyat hingga terpaksa berhijrah ke negeri lain kerana kerajaan BN Terengganu gagal menyediakan peluang pekerjaan.

“Peluang pekerjaan juga tidak dapat disediakan oleh kerajaan hinggakan ribu-ribu orang rakyat Terengganu terpaksa berhijrah ke negeri lain yang lebih terjamin peluang pekerjaannya.

“Antaranya, mereka (rakyat) berhijrah ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor hingga ke Singapura mereka (rakyat) berhijrah mencari peluang pekerjaan di negeri lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peluang pekerjaan yang dijanjikan itu tidak disediakan oleh kerajaan untuk rakyat negeri Terengganu.

Manakala, kata Dato Mustafa, gejala sosial yang terkawal semasa pemerintahan PAS, kini meningkat dan semakin membimbangkan

“Masalah (gejala sosial) ini terkawal waktu pemerintahan kerajaan PAS Terengganu tahun 1999-2004 yang lalu.

“Selain kita (PAS) ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIT) kita (kerajaan) ada orang yang sukarela membantu untuk melihat perlakuan-perlakuan yang tidak betul seperti maksiat ini dapat dikawal.

“Saya hendak sebut mudah sahaja iaitu masalah kemiskinan tidak selesai, masalah pengangguran tidak selesai, masalah penyakit sosial pun tidak selesai di bawah kerajaan Umno-BN Terengganu,” tegasnya.