KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri menjelaskan status terkini janji kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu menyediakan 500 buah unit rumah percuma kepada rakyat semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N01-Kuala Besut, tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata semasa kempen PRK Kuala Besut, pihak Umno dan kerajaan Barisan Nasional menjanjikan 500 buah rumah percuma untuk rakyat.
Justeru itu, beliau ingin mengetahui status bagi projek perumahan tersebut kerana pihak kerajaan langsung tidak menyentuh perkara berkenaan.
“Masa PRK Kuala Besut, pihak Umno-Barisan Nasional menjanjikan 500 buah untuk rakyat secara percuma.
“Jadi saya hendak tahulah status projek rumah itu sebab dari banyak-banyak yang (kerajaan umum) disebut itu tidak ada (projek) yang Kuala Besut,” ujarnya meminta penjelasan.
Sehubungan itu, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu turut diberitahu bahawa kerajaan negeri belum lagi membina rumah mampu milik yang baru selepas dari PRU13 yang lalu.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan tersebut pada hari
kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas, di Wisma Darul Iman, dekat sini pada Rabu 24 September.
“Jawapannya, kerajaan negeri belum lagi membina rumah mampu milik yang baru selepas dari PRU13 yang lalu, sekian terima kasih,” jelasnya.
Manakala, kata beliau perlukan kepada penjelasan dan makluman tentang janji-janji Umno-BN mahu menyediakan 500 buah rumah percuma semasa PRK Kuala Besut tahun lalu.
“Perkara ini saya perlu dapatkan dahulu penjelasan dan makluman. Saya perlu dapatkan dahulu maklumat tetapi setakat
ini, saya tidak dapat makluman tentang rumah 500 buah secara percuma.
“Cuma yang saya tahu hari ini kita hendak bina rumahlah…kalau percuma 500 buah itu saya rasa perkara ini tidak tepat.
“Setakat hari ini saya sendiri pun telah ambil keputusan termasuk di Kuala Besut ini untuk kita (kerajaan) bina 500 buah rumah mampu milik pada tahun hadapan.
“Kita sudah minta supaya Yang Berhormat Kuala Besut (Tengku Zaihan) untuk mengenal pasti kawasan bagi kita laksanakan rumah mampu milik 500 buah dan 10 buah rumah PPRT secara teres yang kita akan bagi percuma kepada rakyat untuk kawasan-kawasan yang saya sebutkan tadi,” ujarnya.
Semasa kempen PRK N01 Kuala Besut tahun lalu, mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menjanjikan 500 buah unit rumah akan dibina di Kuala Besut jika Barisan Nasional menang selesa pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut, 24 Julai 2013.
Menurutnya, projek tersebut bakal menjadi kesinambungan kepada projek 72 unit pangsapuri rumah mampu milik di Kampung Tok Saboh Kuala Besut yang bernilai RM10 juta itu.
“Kita (BN) buat bukan pilihan raya ini, sudah rancang maknanya 550 unit yang sedang dalam binaan, 200 unit di Pulau Perhentian, 32 unit bina untuk mangsa ombak.
“Kita berjanji menang selesa akan tambah lagi 500 maknanya lebih 1000 rumah di Kuala Besut ini,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri Terengganu di Kuala Besut pada 17 Julai 2013 lalu.
Namun begitu, Ahmad yang juga Adun Kijal tidak hadir pada Persidangan Dun Terengganu kali ini selepas terpaksa melepaskan jawatannya pada 12 Mei 2013.