Terengganu, Malaysia

Kerajaan ‘Acuh Tak Acuh’ Dengan Pendidikan Islam

Mohd Nor Hamzah

MARANG – Bajet 2015 membuktikan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak mahu rakyat celik agama Allah dengan hanya memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi sekolah-sekolah agama, berbanding RM50 juta diperuntukkan untuk sekolah mubaligh Kristian.

Bahkan, menurut Ketua Penerangan PAS Terengganu, program pendidikan pra-sekolah yang dipelopori oleh isteri Perdana Menteri Datin Sri Rosmah Mansor mendapat peruntukan sebanyak RM700 juta, berlipat kali ganda berbanding sekolah-sekolah agama.

“sekolah agama dalam Bajet 2015 baru-baru ini, hanya RM25 juta sahaja berbanding RM50 juta bagi sekolah mubaligh kristian dan Permata RM700 juta lebih.

“Apa yang mampu diterjemahkan ke jalan Allah dan untuk membentuk generasi yang patuh kepada Allah dengan jumlah RM25 juta ini? Jelas pemerintah acuh tak acuh dengan sistem pendidikan Islam,”ujar Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga ADUN Bukit Payong.

Justeru, kata beliau, tidak hairanlah kalau kerajaan Umno-BN menghasilkan lebih ramai manusia-manusia yang semakin jauh dari Allah.

“Lihat sahajalah kepada permasalahan liberalisme yang sedang merebak dalam negara kita sekarang. Masalah yang suatu ketika dahulu dianggap remeh,

“sekarang sudah menjadi wabak yang jika tidak berjaya ditangani sekarang, maka tidak mustahil ianya akan memusnahkan Islam di Malaysia,”jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan, mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu, sempena sambutan HijraturRasul 1436, Tahun Baru bagi semua umat Islam.

Dalam tema sambutan ‘Hijrah Menuntut Istiqamah’ itu beliau menyeru agar semua umat Islam bangkit dari ‘lena’ yang panjang, meneruskan ‘hijrah’ dan beristiqamah menjadi hamba Allah yang benar-benar merdeka.

“Ayuhlah kita berhijrah dari seorang yang sentiasa menjadi hamba kepada material dan dunia kepada hamba yang benar-benar taat kepada Allah, kerana dengan menjadi hamba kepada Allah maka kita akan menjadi manusia yang merdeka,

“sebagaimana sahabat-sahabat yang berhijrah memerdekakan minda mereka dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan total hanya kepada Allah,”ujar beliau

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan