Oleh: Solahuddin Al-Idrus
Saban tahun apabila menjelang tibanya bulan Syawal, kita dapat lihat pelbagai aksi dan acara diadakan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Begitu jugalah halnya pada sambutan Aidilfitri 1436H pdada kali ini.
Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam. Bukan kemenangan kerana berlalunya Ramadhan dan kita dapat bersantapan kembali di siang hari. Tetapi ia adalah kemenangan kepada mereka yang menjalani sebulan ibadah puasa di madrasah Ramadhan dengan penuh ‘imaanan wahtisaaba’.


‘Mercun dan Rempit’
Di Kuala Terengganu khasnya, ramai anak muda yang menyambut Aidilfitri dengan bermain mercun dan keluar ‘merempit’ beramai-ramai. Isu mercun dan rempit ini sudah menjadi ‘fenomena’ tahunan yang tidak berkesudahan dan terpaksa dihadapi oleh komuniti setempat di bandaraya yang terkenal dengan jolokan Bandaraya Pesisir Air ini.
Pada malam awal Syawal suasa saling tak tumpah umpama di medan perang dengan bingitnya bunyi letupan mercun yang bersahut-sahutan. Satu keadaan yang cukup mengganggu kesentosaan pada 1 Syawal.
Di jalanraya pula berpusu-pusu ‘mat rempit’ bermaharajalela. Sekitar jalan Durian Burung, Paloh, Pengadang Baru, Wakaf Mempelam, Kubang Tangga, dan Wakaf Beruas dipenuh oleh ‘mat-mat motor’ dalam lingkungan jam 5 petang sehingga ke waktu Maghrib. Kadang kala hingga ke malam.


Itulah masalah utama yang dihadapi oleh penduduk setempat yang masih belum dapat diselesaikn oleh pihak berwajib walaupun ia seakan sudah bermacam janji yang ditabur saban tahun. Hinggakan pada tahun ini munculnya beberapa individu yang dipercayai penduduk sekitar yang tidak tertahan lagi dengan karenah ‘kurang ajar’ mereka, telah bangkit membuat tindakan sendiri sebagaimana paparan video yang tersebar di laman sosial.
Justeru, ia adalah isyarat yang jelas kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera dan berkesan, berkait hal mercun dan gejala rempit ini. Kita amat bimbang perkara yang lebih buruk berlaku, pabila rakyat berterusan terpaksa mengambil tindakan sendiri menghalang gejala rempit yang boleh tercetusnya huru-hara apabila kemarahan masyarakat setempat tidak dapat dibendung lagi.
Tidak kurang juga terdapat sebilangan masyarakat Islam yang mengambil peluang cuti Aidilfitri ini dengan mengadakan majlis perkahwinan. Memanfaatkn ruang yang ada ditambah pula dengann kepulangan kaum keluarga yang jauh, pasangan mempelai turut diraikan di hari Aidilfitri yang penuh barakah ini.
Semoga sahabat berasal dari Simpang Tok Ku yang mengadakan majlis persandingan di Tok Jembal Kuala Nerus, menndapat rahmat serta keberkatan dari Allah SWT.
Kemeriahan Aidilfitri serasa lebih berseri dengan kehadiran orang baru di dalam keluarga yang bakal dibina dan menambah besarkan lagi ‘baitul Muslim’ yang sangat dibanggakan oleh baginda Nabi SAW.
‘Alfu mabruk’ buat kedua mempelai itu dan semoga lebih tenang dan beristiqamah dalam gerak kerja jemaah selepas mendirikan rumah tangga, sebagaimana sebelum bertemu jodoh.
Mudah-mudahan Allah memberkati kalian dan menghimpunkan hidup kalian dalam suasana yang penuh kebaikan!































