Kepimpinan Ulama dipertikai, PAS Terengganu mula berubah?

903

Ramai yang bertanya kenapa saya tidak menyentuh persoalan pemilihan kepimpinan yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Buka sahaja mana-mana akhbar harian dan alternatif, persoalan perebutan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat serta Ketua Ulamak sedang hangat dibincangkan oleh media massa selain di markas-markas atau kedai-kedai kopi.

Malah pada satu peringkat, ada pihak-pihak tertentu cuba untuk memncing Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk turut sama bertanding jawatan Presiden yang sekarang ini disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk melanjutkan polemik baru diantara kedua-dua tokoh ulamak tersebut.

Saya tidak bercadang untuk mengulas berhubung dengan pemilihan PAS diperingkat pusat dalam tulisan ini. Biarlah mereka yang terlibat menyelesaikan pemilihan ini mengikut tradisi parti yang diamalkan sejak lebih 25 tahun yang lalu.

Cuma apa yang menarik perhatian saya adalah apa yang disebut oleh seorang pakar undang-undang, Dato’ Takiyuddin Hasaan yang menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata,  biar pun tidak tertulis dalam perlembagaan parti itu bahawa presiden dan timbalan presiden mesti terdiri daripada golongan ulama tetapi ia telah diterima umum sebagai satu undang-undang atau dalam istilahnya disebut ‘satu konvensyen’.

Dalam undang-undang, ‘convention law’ telah diterima umum yang mana tidak ada undang-undang bertulis tetapi ia adalah satu perkara yang perlu dipatuhi.

Kenyataan ini sekaligus menyokong kenyataan ustaz Mohd Daud al-Iraqi, Ketua Dewan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang baru – baru ini telah menyuarakan pandangannya agar Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dikalangan ulamak.

Ia diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Dato’ Mustafa Ali, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertanggungjawab menggagaskan Kepimpinan Ulamak dalam PAS pada tahun 1982 yang lalu  menyebut bahawa Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dikalangan ulamak ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu baru-baru ini.

Malah Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sudah lama PAS ini dibawah pimpinan ulamak. Ulamak dulu tak berpelajaran tetapi ulama sekarang dah pandai dah. Dia ulamak, dialah juga professional. Jadi tak ada masalah hanya golongan ulamak professional yang layak menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

PAS Terengganu menjadi harapan rakyat

Kebangkitan PAS di Terengganu sekarang ini begitu pesat sekali berbanding selepas terkena tsunami pada tahun 2004. Sungguhpun begitu pertembungan diantara UMNO dan PAS di Terengganu sekarang ini agak suram, memandangkan pertembungan sesama UMNO dari kem Idris Jusoh dan kem Ahmad Said lebih panas.

Setelah ditumbangkan oleh barisan muda UMNO pada pilihanraya umum 2004, PAS Terengganu dikatakan lambat atau terlalu ‘slow’ membuat perubahan kepada kepimpinannya berbanding dengan UMNO selepas mereka kecundang kepada PAS dalam tahun 1999.

Pencapaiannya dalam pilihanraya umum ke-12 pada Mac, 2008 baru-baru telah meningkat 2 kali ganda berbanding dengan tahun 2004. Pencapaian ini sudah cuikup memberangsangkan jika dibandingkan dengan Selangor dan Perak. Tetapi agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Kedah dan Kelantan. 

Cuma yang menjadi perdebatan, selama mana PAS Terengganu hendak bergantung kepada tenaga-tenaga veteran yang telah melepasi zaman kegemilangan mereka untuk berhadapan dengan “budak-budak” baru UMNO.

Dalam pemilihan-pemilihan kepimpinan PAS kawasan-kawasan dan Dewan-dewan perubahan kepada tenaga baru telah berlaku. Paling drastik adalah perubahan Yang Dipertua Kawasan Besut kepada seorang ulamak muda, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dengan barisan pelapis yang baru.

Kawasan-kawasan yang lain mungkin tidak membuat perubahan drastic dalam kepimpinan parti tetapi sedang menghayati “transformasi” untuk dilaksanakan dalam jangkamasa terdekat supaya kesinambungan perjuangan Islam yang dipelopori oleh 5 tonggak utama PAS Terengganu sejak tahun 1980’an, iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dato’ Mustafa Ali, Dato’ Ustaz Harun Taib, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong dan Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik.

Buat pertama kalinya selepas  sekian lama, jawatan Ketua Dewan Muslimat terlepas dari kalangan isteri pimpinan utama PAS Terengganu bila Ustazah Sapinah Jusoh dipilih menjadi Ketua Muslimat yang baru dengan pengunduran Ustazah Fatimah@zainab Ibtrahim.      

Sementara Ketua Pemuda Terengganu juga bertukar kepada Ustaz Mohd Nor Hamzah setelah Ustaz Azman Safawi Abd Rani turut mengundur diri. Mungkin juga Ketua Dewan Ulamak Terengganu pun mendapat muka baru.

Persoalan yang timbul sejauh mana tenaga-tenaga baru ini mampu menggerak PAS Terengganu sebagaimana yang dilakukan oleh 5 tonggak PAS Terengganu terutama ketika masih muda dan bertenaga selama 3 dekad. Mampukah mereka meyakinkan rakyat menerima mereka sebagai pemimpin kerajaan selepas ini?

Rujuk blog http://kalamperantau.wordpress.com untuk artikel-artikel sebelum ini.