Oleh : Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin
Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian semalam (12 Jun 2015, muka surat 7), Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan kadar tol bagi 16 lebuh raya utama di seluruh negara. Kenaikan tersebut dijangka akan naik antara 20 sen sehingga RM 1 dan ia akan mula berkuatkuasa Ogos ini.
Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas membantah cadangan kenaikan kadar tol tersebut dan ia disifatkan sangat melampau. Kami juga meminta supaya pihak kerajaan berunding semula dengan pihak konsesi bagi mengelakkan pembayaran pampasan membabitkan ratusan juta sekiranya penangguhan kenaikan kadar tersebut dilakukan pada tahun ini.


Contoh cadangan kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuhraya utama di Lembah Klang adalah seperti berikut;
a. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Besraya adalah sebanyak 70 sen (dari RM 1.30 kepada RM 2.00).
b. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Baharu adalah sebanyak 60 sen (dari RM 1.60 kepada RM 2.20).
c. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Duta – Ulu Kelang adalah sebanyak 50 sen (dari RM 2.00 kepada RM 2.50)
Kerajaan sewajarnya mengambil kira keuntungan yang diraih oleh pihak konsesi dan keadaan semasa sosio ekonomi rakyat sebelum mencadangkan apa-apa kenaikan kadar tol. Rakyat kini sudah dihambat dengan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (6%) bermula 1 April yang lalu dan kenaikan petrol dan diesel sejak 1 Jun 2015.
***Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin ialah Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan






























