Kenaikan Harga minyak, Beban Pra-GST

798

Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengambil sikap celik ekonomi bagi memahami perkara sebenar yang sedang berlaku di Malaysia ketika ini, khususnya apabila pengumuman kerajaan semalam berkaitan harga minyak bagi bulan Mac 2015 telah dinaikkan sebanyak RM0.25 seliter bagi kedua-dua RON 95 dan 97. Kesan kepada kenaikan ini bukannya remeh kerana selepas ini pastinya harga barang akan naik seiring dengan kenaikan minyak ini. Lebih malang, harga barang-barang ini tidak kenal erti turun ketika turunnya harga minyak tetapi bingkas dan pantas naik apabila harga minyak naik.

Dahulu jika harga minyak naik, harga pasaran minyak dunia menjadi rujukan kerajaan bagi mewajarkan tindakan mereka. Namun semalam, ketika harga minyak dunia masih berada di bawah, kejatuhan nilai ringgit pula mengambil tempat bagi menjadi alasan kenaikan ini. Rakyat ditendang ke sana sini dan diperbodohkan, tetapi akhirnya, merekalah yang terpaksa menanggung segala akibat buruk kesan dari kenaikan ini. Kesan ini pastinya akan berganda kerana kita sekarang sudah berada di ambang GST yang mana hasil dari kajian dibeberapa negara yang memulakan GST, harga barangan menjadi semakin naik.

Rakyat yang sedia miskin, menjadi semakin miskin, apatah lagi rakyat yang tinggal di kawasan-kawasan yang baharu selesai dilanda musibah banjir. Para penoreh getah juga antara golongan yang pasti merasa keperitan ini. Mereka ini makanpun tidak cukup apatah lagi merasai dandanan rambut bernilai ribuan ringgit. Sikap kerajaan sangat menghairankan kerana disebalik kaedah pengapungan harga minyak bagi menentukan harga minyak bulanan hasil dari penarikan balik subsidi kepada rakyat, 1MD pula dilaporkan rugi berbillion-billion ringgit. Sehinggakan Ketua PAC turut kehairanan. Saban tahun pula, Jabatan Audit Negara melaporkan kerugian, salah urus harta negara, kehilangan harta kerajaan. Hasil daripada sikap tidak amanah sesetengah daripada mereka dalam menguruskan harta rakyat Malaysia.

Dapat dijangkakan nanti, para menteri akan beramai-ramai meratib ugutan-ugutan kepada kumpulan peniaga yang menaikkan harga barang mereka. Jika dilihat kepada ugutan itu, pasti penuh penjara dengan para peniaga tersebut. Juga zikir tentang betapa harga minyak kita masih berada dibawah harga beberapa negara lain di dunia. Akan tetapi malangnya, harga barang tetap naik, peniaga tetap bebas, rakyat tetap kena tindas walaupun mereka digelar mujahidin kerana membayar tol di lebuhraya-lebuhraya. Kerajaan gagal memikirkan cara mahu berjimat dan selalunya hak rakyatlah yang diambil.

Oleh itu marilah kita bersama-sama melihat fenomena ini sebagai satu penyakit yang merbahaya kepada seluruh manusia yang waras. Kita mesti menghentikannya dengan kita sama-sama bekerjasama bagi menumbangkan Umno dalam mana-mana pilihanraya dan bersama kita menjadikan PR sebagai kerajaan baru yang menjadikan kebajikan kepada rakyat sebagai teras pemerintahan mereka. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
10 Jamadil Awal 1436 bersamaan 1 Mac 2015