Perangkaan kematian itu bertambah semalaman, selepas enam daripada mereka yang cedera parah, kecundang akibat kecederaan yang dialami.
Pembunuhan kejam yang berlaku di Sanaa petang kelmarin adalah yang paling teruk sejak pergolakan dan penentangan terhadap Presiden Ali Abdullah Saleh – sekutu utama Amerika Syarikat dalam perangnya menentang kumpulan Al-Qaeda di Semenanjung Arab – berlaku beberapa minggu lalu.
Para saksi berkata ‘samseng-samseng’ pro-Saleh telah melepaskan tembakan dari bumbung-bumbung bangunan yang mengelilingi dataran Universiti Sanaa, yang menjadi pusat beberapa demonstrasi yang mahu menamatkan pemerintahan Encik Saleh selama 32 tahun itu.
Protes di Sanaa itu menarik penyertaan puluhan ribu penduduk Yaman, jumlah tertinggi dalam siri bantahan di negara itu sejauh ini.
Ia bermula dengan aman sebelum sebuah helikopter tentera berlegar-legar di udara kawasan dataran yang dipenuhi para pembantah itu.
Sebentar kemudian, terdengar tembakan dari bumbung-bumbung bangunan dan rumah-rumah sekitarnya, yang membuat keadaan kucar-kacir.
Puluhan pembantah terkena tembakan dan ramai yang rebah sedang seorang lelaki berlari meminta tolong sambil mendukung seorang kanak-kanak yang ditembak di bahagian kepalanya.
Pihak polis Yaman pula membakar tayar-tayar untuk menghalang pemberontak daripada melarikan diri ke jalan raya utama di kawasan itu.
Meningkatnya keganasan secara dramatik itu menambahkan lagi kebimbangan Encik Saleh terhadap potensi bantahan-bantahan di Yaman itu yang bertujuan untuk menamatkan pemerintahannya yang telah berlangsung lebih tiga dekad. — AFP, AP.