Kematian Arafat Jaradat yang menimbulkan persoalan, juga menyebabkan Perdana Menteri Wilayah Palestin, Encik Salam Fayyad, menggesa agar siasatan penuh diadakan.
Jurucakap Khidmat Penjara Israel, Cik Sivan Weizman, berkata Jaradat, ayah dua anak berusia 30 tahun, meninggal dunia tiba-tiba di pusat tahanan Megiddo, utara Israel.
“Ia mungkin serangan sakit jantung. Saya tidak mempunyai butir-butirnya ketika ini,” kata Cik Weizman. [Gambar – Atas; Bapa Arafat menunjukkan potret anaknya, bawah; penyokong Hamas dan warga Palestine di Gaza turut menyatakan protes dan mendesak siaatan ke atas kematian Arafat]
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Encik Fayyad melahirkan rasa sedih dan terperanjat atas kematian syahid Arafat Jaradat di penjara Israel.


Setelah berita kematian Jaradat tersebar, pertempuran berlaku di Hebron semalam antara belia Palestin dan pasukan keselamatan Israel, dengan para pemberontak melempar batu ke arah pasukan keselamatan Israel yang membalas dengan melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan pelumpuh (stun grenade), kata para saksi.
Agensi khidmat risik dalam negeri Israel, Shin Bet, menyatakan Jaradat telah diberkas Isnin lalu kerana terlibat dalam insiden melempar batu pada November tahun lalu di mana seorang rakyat Israel tercedera.
“Selepas makan tengah hari, sedang dia sedang berehat di penjara Megiddo, Arafat Jaradat mula sakit. Pegawai paramedik dipanggil untuk merawatnya tetapi mereka tidak menyelamatkan nyawanya,” kata agensi itu.
Menurut agensi itu lagi, Jaradat mengalami sakit belakang dan pernah cedera sebelum ini. Dia telah beberapa kali diperiksa seorang doktor, “yang tidak mendapati sebarang masalah kesihatan. Siasatan masih diteruskan,” nyata Shin Bet.
Hubungan antara Israel dan wilayah- wilayah Palestin sudah sedia tegang kerana bantahan yang dilakukan bulan ini sebagai menunjukkan semangat setiakawan dengan empat lagi banduan Palestin yang ditahan Israel yang melancarkan mogok lapar.
Sementara itu, sekitar 3,000 rakyat Palestin yang ditahan Israel mengadakan mogok lapar sehari sebagai membantah kematian Jaradat, sedang pasukan keselamatan bertempur dengan pemberontak di Tebing Barat. – AFP.



























