Oleh KAM
KUALA NERUS – Kesengsaraan hidup dengan kos kenaikan harga barang serta kejatuhan harga komuditi getah hingga mencecah paras serendah RM2.20 sekilogram amat memeritkan para pekebun kecil di negara ini.
Keluhan dan jeritan golongan tersebut tidak dipandang serius oleh kerajaan Umno serta parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang mendakwa “rakyat diutamakan”.
Perjuangan wakil rakyat Ahli Parlimen pembangkang PAS di Parlimen yang mendesak skim harga ‘lantai’ komuditi getah itu dinaikan dari RM2.20 kepada RM4.00 amat wajar serta boleh dilaksanakan.
Jika jika kerajaan mengambil sedikit dari keuntungan pelaksanaan cukai GST yang mencecah RM39 bilion itu dengan anggaran hanya RM1.6 bilion bagi melaksanakan skim harga RM4.00 tersebut.
Pertemuan dengan para pekebun kecil yang terdiri dari penoreh getah warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, sempena majlis penyampaian sumbangan kepada 250 penoreh merakam keluhan mereka.
Seorang warga emas ibu tunggal, Fatimah Yunus, 80, dari Kampung Tetambah masih melakukan kerja-kerja menoreh getah miliknya atas tanah seluas satu ekar.
Katanya, kerja-kerja menoreh masih dilakukan jika keadaan kesihatan beliau mengizinkan meski pun harga getah sangat rendah.
“Harga getah murah sangat lening (sekarang) tapi nak buat macam mana doh kerajaan kata begitu. Mak cik noreh lagi jika kesihatan baik dan tidak ada masalah.
“Suami meninggal lima tahun lalu dan mak cik masih menoreh getah peninggalan arwah (suami) dalam 200 batang pokok, sikit sahaja,” ujarnya ketika ditemui Harakah selepas majlis tersebut.
Menurutnya, kerajaan patut lebih cakna dengan masalah rakyat terutama penoreh getah dari kalangan warga emas ini.
Rakannya, Romlah Embong, 80, juga masih melakukan kerja menoreh pokok getah bagi sara hidup tambahan keluarganya.
“Mak cik lah toreh (menoreh) kebun getah orang, dalam empat ekar luasnya. Tapi harga getah murah sangat…padan (cukup) dok padan pun kena menoreh juga untuk dapat duit.
“Suami (Jusoh Mamat) tak larat nak kerja, sakit tua dan macam-macam lagi,” jelasnya yang telah melakukan kerja menorah sejak berusia belasan tahun lagi.
Beliau mendakwa, bantuan bulanan orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak diperolehinya.
Seorang ibu muda, Puan Nik Azizah Nik Pa, 38, dari Kampung Kesom juga melakukan kerja menoreh pokok getah milik mertuanya.
Beliau mempunyai empat orang anak berusia lima, tujuh, lapan dan 10 tahun kesemuanya bersekolah di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah.
“Saya dan suami buat kerja menoreh getah mertua saya sendiri atas tanah seluas empat ekar. Jika getah murah suami terpaksa cari kerja sampingan lain untuk kami anak-beranak.
“Cadangan wakil PAS untuk minta kerajaan naik skim harga ‘lantai’ getah dari RM2.20 kepada RM4.00 sangat dipersetujui oleh pekebuk kecil ini,” ujarnya.
Menurutnya, harga getah murah dan harga barang pula sentiasa melambung naik yang cukup membebankan rakyat.
Che Yusof Che Jamal, 59, dari Kampung Banggol Peradong mempunyai 10 anak dan dua daripadanya masih bersekolah di peringkat menengah.
“Saya masih ada anak sekolah menengah dua orang dari 10 orang anak. Saya ambil upah menoreh kebun getah orang seluas empat ekar. Tapi, harga getah murah dan kerajaan kena buat sesuatu untuk selesai bantu pekebun kecil,” ujarnya.
Menurutnya, masalah pekebun kecil yang bergantung hasil kepada tanaman getah amat perit dan perlu pembelaan.
Rakannya, Saidi Muda, 58, juga mempunyai keluarga besar seramai 14 orang anak dan lima masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.
Katanya, jika harga getah terlalu murah dan tidak berbaloi beliau terpaksa membuat kerja sampingan menjual ikan di pasar.
“Anak saya 14 orang semuanya dan lima masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah. Tanah kebun getah yang diusahakan seluas dua ekar sahaja.
“Jika harga getah terus menurun dan tidak berbaloi, saya terpaksa buat kerja lain seperti menjual ikan di pasar untuk menampung sara hidup keluarga,” jelasnya.
Beliau menggesa agar kerajaan lebih prihatin dan cakna dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat hari ini.
Menurutnya, rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup apabila cukai GST dan kenaikan harga barang setiap masa.
Encik Ismail Mohamad, 65, dari Kampung Banggol Peradong juga mengusahakan kebun getah sendiri seluas lima ekar bagi menyara hidup lapan orang sekeluarga.
“Saya setiap hari berulang-alik dengan motosikal sejauh lebih empat kilometer sehari untuk menoreh getah di kawasan ladang Lubuk Batu Putih,” ujarnya.
Beliau turut memohon agar kerajaan menyediakan bantuan baja kepada para pekebun kecil yang lama mengusahakannya.
Menurutnya, bantuan baja kepada pekebun getah yang lama tidak diperolehi lagi kerana tidak ada peruntukan kerajaan.
Encik Sidek Othman, 76, dari Kampung Belara telah melakukan kerja-kerja menoreh getah ini sejak lebih 20 tahun lalu.
“Pak Dek buat kerja noreh (potong) getah lebih 20 tahun. Kebun getah ada seluas empat ekar dan setiap hari berulang-alik dengan perahu ke seberang sungai untuk ke kebun.
“Orang panggil kebun Seberang Sungai Tok Fakir, pergi dengan perahu dalam lingkungan jam 6.00 pagi selepas solat subuh,” jelasnya.
Beliau turut mengakui bantuan baja kepada para pekebun lama tidak lagi diperolehi dengan alasan kerajaan tidak ada peruntukan.
Manakala, Encik Ismail Mat Min, 74, dari Kampung Belara pula mengusahakan kebun getahnya sendiri seluas tiga ekar sahaja.
Katanya, sejak beberapa bulan lalu tidak lagi keluar menoreh getah kerana keuzuran akibat sakit pinggang dan urat saraf.
“Pak Mail ada kebun sendiri seluas tiga ekar sahaja tetapi sejak beberapa bulan lalu tidak dapat buat kerja menoreh lagi kerana sakit pinggang dan saraf.
“Jarak kebun getah saya dengan rumah setengah jam perjalanan motosikal. Jika bertolak (keluar) pukul 7.00 pagi lebih kurang 7.30 pagi sampailah.
“Lebih 30 tahun buat kerja (menoreh) getah ini. Sekarang getah murah sangat tetapi jika menoreh bolehlah buat belanja dapur sikit,” jelasnya.










