Kerajaan Kelantan akan memberi fokus terhadap pembinaan kira-kira 1,000 hingga 5,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya telah meninjau beberapa jajahan yang masih mempunyai tanah milik kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan rumah berkenaan.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada keupayaan kerajaan negeri. Dengan adanya projek ini, kita merasa sudah membuat satu pembelaan kepada rakyat Kelantan.
“Sepanjang 23 tahun kita menerima banyak permohonan daripada rakyat (individu) untuk membina beberapa unit rumah secara kecil-kecilan sebelum dijual dan ia mendapat pasaran yang baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program rumah mampu milik dan pecah tanah projek rumah mampu milik di Badang, di sini, Ahad.


Kerajaan negeri turut memberi subsidi purata RM30,000 terhadap pembelian setiap unit rumah yang dijual antara RM43,000 hingga RM99,000 yang menelan kos antara RM25 juta hingga RM30 juta dan dibina oleh anak syarikat kerajaan negeri.
Kerajaan negeri turut meletakkan syarat ketat di mana pembeli tidak boleh menyewa atau memindah milik rumah yang telah dibeli kepada orang lain dalam tempoh 10 tahun atau sehingga dibenar oleh pihak berkuasa negeri.
Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang membina dua lagi projek perumahan mampu milik di Meranti, Pasir Mas dan Kampung Baru, Tumpat dalam masa terdekat.
Mengulas tentang tanah pertanian yang ditukar statusnya kepada tanah perumahan, Ahmad berkata kerajaan negeri mengambil langkah berhati-hati sebelum meluluskan sesuatu permohonan.
“Kita lihat peratus tanah pertanian setakat ini masih mampu untuk mengeluarkan hasil kepada penduduk, contohnya padi masih lagi cukup untuk kita.
“(Bagaimanapun) kita lihat banyak (tanah pertanian) berhampiran jalan raya dan kita beri pertimbangan untuk tukar status daripada tanah pertanian kepada tapak rumah,” katanya.- BERNAMA





























