Kekal Tenang, Usah Terpedaya Dengan Fitnah

294

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Muslimat Terengganu meminta rakyat Negeri Terengganu kekal tenang dan tidak mudah terpedaya dengan kabar angin dan fitnah.

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman amat kecewa dengan tindakan sesetengah pihak ‘bermain api’ , memfitnah dan mereka-reka cerita kononnya kerajaan Negeri Terengganu yang stabil dikatakan goyah di dalam suasana negara masih diuji dengan COVID-19.

“Ini adalah satu fitnah jahat yang mencemburui pentadbiran yang semakin disayangi seluruh lapisan rakyat,” ujarnya di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Katanya, sejak tiga tahun pentadbiran, Terengganu melangkah gagah dengan kemajuan dan pembangunan mesra rakyat, pelbagai insentif untuk meningkatkan taraf kehidupan dalam pelbagai sektor.

“Terbaharu dengan pengumuman Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 yang mencerminkan kebersamaan kerajaan turut merasai keperitan rakyat terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Sepenuhnya (Total Lockdown),” jelasnya.

Tambah Zarani, 80 peratus janji manifesto PAS Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sudah ditunaikan untuk memembuktikan kerajaan hari ini wajar dipertahankan.

“Kami menolak dan mengingatkan kepada pihak yang membuat dan menyebarkan fitnah jahat ini, semuanya akan diadili di hadapan Allah SWT,” tegasnya.

Justeru, beliau berkata, Muslimat Terengganu menyokong penuh dan berdiri teguh sepenuhnya bersama kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.