Kedudukan Sebagai Presiden Tidak Terjejas

779

Mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan ia telahpun diselesaikan.

 

“Hubungan kami macam isi dengan kuku. Memang ada perbezaan pendapat tapi tetap bersatu, lebih-lebih lagi bila beliau (Nik Aziz) terima resolusi yang dibuat dalam seminar parti baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam 13 November, sebagaimana dilapor Bernama.

Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Bagaimanapun parti itu memutuskan untuk mengadakan seminar politik pada 7 Nov lalu dan membincangkan masalah berbangkit.

Berhubung isu bai’ah, beliau menjelaskan bai’ah sumpah setia laknat yang diamalkan parti itu seperti didedahkan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini, tidak menyalahi ajaran Islam.

“Bai’ah talak tiga tidak menjadi dasar atau konsep dalam PAS,” katanya.

Bai’ah Sumpah Laknat Bukan Talak Tiga

Sementara itu, di Kuala Lumpur, PAS mengakui ia hanya mengamalkan bai’ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai’ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.

“PAS ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai’ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. PAS buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.

“Walaupun kita (Jawatankuasa PAS Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti,” katanya pada sidang media berhubung isu bai’ah di ibu pejabat Pas di sini Jumaat.

Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai’ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti.

Mustafa berkata bai’ah anggota PAS menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, sebaliknya merupakan “sumpah setia laknat” bagi mengelak daripada berlakunya lompat parti.

Katanya hanya terdapat dua anggota parti itu dari Selangor menggunakan lafaz bai’ah yang berbeza daripada amalan bai’ah biasa, dan seorang daripadanya adalah Khalid sendiri.

Menurut Mustafa, pimpinan tertinggi Pas berpendapat, bai’ah yang dilafazkan oleh Khalid tidak sepatutnya berlaku kerana ikrar seperti itu seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Berikutan tindakannya itu, Mustafa berkata, Khalid telah diberikan peringatan lisan oleh parti.

Khalid dalam pendedahannya sebelum ini mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai’ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa berkata, lafaz bai’ah Khalid dan seorang lagi anggota PAS di Selangor itu juga berbeza antara satu sama lain.

Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama seorang lagi pemimpin yang dimaksudkan.

“Kita anggap ini hanyalah kes terpencil. Tak perlulah didedahkan nama individu itu, sama ada anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri. PAS harap isu ini tidak diperbesarkan,” katanya.