HULU TERENGGANU – PAS sedia bertemu dengan Dato’ Seri Azmin Ali pada bila-bila masa bagi membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kerajaan negeri dan hanya menunggu tarikh daripada Menteri Besar Selangor sahaja.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS masih menunggu tarikh pertemuan itu yang belum ditetapkan lagi.
“Kita (PAS) serah kepada Menteri Besar untuk tentukan tarikh pertemuan itu. Setakat ini tarikh belum ditentukan lagi,” ujarnya ketika ditemui selepas melepaskan peserta 10,000 Langkah Harap-PGU 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, hari ini.


Katanya, kemenangan PAS di Selangor bukan ‘menumpang’ tetapi mendapat mandat rakyat ketika kerajaan Pakatan Rakyat.
“Kita (PAS) hari ini masih kekal dalam kerajaan negeri kerana kita mendapat mandat rakyat dalam kerajaan campuran (Pakatan Rakyat) di Selangor, PAS bukan menumpang.
“Pada PRU13 lalu, kita (PAS) telah mendapat 15 kerusi dan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat bersama Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP,” ujarnya.


“Suasana di Selangor hari ini adalah stabil dan jangan ada pihak yang mahu mengganggu-gugat perjalanan kerajaan yang ada sekarang,” tegasnya.
Mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada 18 Mei lalu, memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor bagi membincang pelbagai isu yang melibatkan kerajaan negeri Selangor dalam masa terdekat.
Buletinonline dimaklumkan, PAS akan diwakili oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agungnya dalam perbincangan itu kelak.






























