Kandungan Berunsur Fitnah; YB Jai Buat Laporan Polis

190

KUALA TERENGGANU – Seorang pempengaruh yang dikenali YB Jai, telah membuat laporan polis berhubung dua hantaran dalam satu halaman media sosial yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap dirinya.

Menurut beliau, tuduhan yang disebarkan sejak kebelakangan ini adalah tidak benar dan berasas, malah telah menjejaskan nama baik dan reputasinya sebagai influencer.

“Saya memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada saya secara peribadi, malah turut memberi tekanan kepada keluarga, rakan-rakan serta pihak yang berurusan dengan saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan lanjut akan diambil termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

YB Jai menegaskan bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, ketelusan dan kejujuran dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan saman sivil sekiranya penyebaran fitnah berkenaan berterusan.

“Saya berharap semua pihak menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih dan tidak membuat andaian tanpa bukti kukuh,” ujarnya.