Dato’ Seri Presiden PAS, menyebut kalau nak ke Kuantan kenalah naik bas ekspres ke Kuantan. Salah naik bas makin tak sampai (disebut Kuala Lipis).
Nak ke Putrajaya perlukan sokongan rakyat. Jika mahu sokongan rakyat kena pastikan rakyat bersama kita.
Kerana itu jangan gugurkan rakyat dari tema perjuangan.
Mengutamakan harapan individu dan kelompok tertentu sehingga ketepikan kepentingan rakyat yang lebih besar bukan caranya jika mahu ke Putrajaya.
Mengambil mudah peranan PAS yang berakar umbi kuat di kalangan masyarakat Islam khususnya orang orang melayu hanya menatijahkan sokongan seperti di perhimpunan BERSIH 4 yang cuma disertai 5% orang Melayu, manakala yang paling ramai dari kaum Cina lebih 90%.
Itu sehabis baik yang boleh dicapai walaupun menerima tajaan dan sumbangan lebih RM1juta, dengan pelbagai seruan dan kempen seluruh negara dari tokoh tokoh melayu yang dianggap paling hebat yang berada dalam PKR, DAP dan PAN.
Ia tenyata gagal menarik sokongan melayu ke BERSIH 4.0.
Bandingkan penyertaan pecah panggung ke Kongres Rakyat yang disokong PAS sehingga terpaksa memenuhi setiap ceruk kaki lima di Auditorium di Shah Alam kerana seluruh Auditorium telah penuh.
Juga kehadiran lebih 100,000 di FASTAQIM di Kota Bharu yang penganjurannya cuma berkos sekitar RM100,000.00 tanpa tajaan yang mewah sehingga mencecah nilai jutaan ringgit seperti yang diterima oleh BERSIH 4.0 atau himpunan perkauman merah yang didalangi UMNO.
Rakyat memerhati pihak mana yang akan jadi pemimpin sebenar yang menentukan kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU14.
Jika gabungan parti dalam Barisan Nasional dilihat de facto leadernya adalah UMNO, dan mereka sudah sejak berpuluh tahun merdeka merasa tiada yang menggugat asas penting tiang seri kestabilan negara yang perlukan dokongan orang orang melayu yang menjadi kaum terbesar dalam masyarakat majmuk Malaysia, maka apa apa gabungan baru yang mahu dijadikan pilihan, orang mahu tahu siapa sebenarnya menentukan dasar dan prinsip?
Adakah pemimpin dari PKR atau PAS Atau dari DAP?
Dengan segala tingkah laku dan pendirian yang ditunjuk oleh DAP dalam isu isu yang sensitif kepada kesucian Agama Islam dan kepentingan orang melayu, persepsi yang ada sukar meyakinkan rakyat bahawa DAP boleh menerima sokongan orang melayu.
Pakatan Harapan dilihat rakyat terlalu tunduk kepada DAP. Rakyat melihat semua yang dibuat oleh pakatan tersebut adalah datang dari DAP. Yang lain sekadar menurut. Tidak sesekali akan membantah.
Ini tidak bagus. Bukan formula kemenangan ke Putrajaya. Mungkin boleh membantu mengekalkan kepentingan DAP di Pulau Pinang dan beberapa negeri sahaja.
Rakyat melihat ketegasan PAS dalam berdepan PKR dan DAP setelah masalah campurtangan dalaman urusan PAS semakin reda dengan terbentuk kepimpinan baru selepas Muktamar Agong PAS bulan Jun yang lalu.
PAS kini berjiwa merdeka dan tidak tunduk pada kemahuan sesiapa. PAS kini fokus perjuangannya dengan dasar Islam menjadi pegangan yang tiada tolak ansur lagi dengan iltizam menterjemahkan konsep rahmat untuk semua tak kira kaum dan agama, kaya atau miskin, kawasan bandar atau pendalaman.
Kerana itu nama nama besar seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato’ Seri Zakaria (bekas timbalan Ketua Pengarah SPRM), Dato Menteri Besar Selangor Azmin Ali, Saudara Tian Chua Naib Presiden PKR, Tn Hj Mustafa Kamil Ayub Mantan Naib Presiden PKR, Ambiga dan Maria Chin menegaskan perlunya mendapat sokongan PAS bagi jayakan agenda memulihkan negara.
HJ AHMAD AMZAD HASHIM
28hb. Oktober 2015





























