Kakitangan Hospital dan Pesakit Disantuni Sempena Aidilfitri

361

Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN – PAS Kawasan Kemaman bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman menyantuni kakitangan Hospital Kemaman serta para pesakit sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Pegawai Pejabat Ahli Parlimen Kemaman, Mohd Khairuddin Ahmad berkata, program tersebut merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kami amat menghargai jasa kakitangan hospital yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan. Pengorbanan mereka, terutama ketika musim perayaan, amat besar nilainya,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, program santunan itu turut bertujuan menyuntik semangat kepada pesakit agar terus tabah menghadapi ujian kesihatan, di samping berkongsi kegembiraan menjelang Aidilfitri.

Dalam program tersebut, sumbangan berupa juadah raya dan sedikit duit raya telah diagihkan kepada kakitangan hospital serta pesakit yang sedang menerima rawatan.

Beliau berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada golongan yang memerlukan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak pengurusan Hospital tersebut serta disambut dengan penuh rasa syukur oleh semua yang terlibat.