Kabinet Yaman ‘kebalkan’ Presiden, Pegawai dari sebarang dakwaan

607

Perjanjian itu, bagaimanapun, tidak memberi imuniti bagi kesalahan jenayah lain yang dilakukan Encik Saleh serta pegawai yang bertugas di bawahnya sepanjang pemerintahan beliau.

Kabinet meluluskan undang-undang itu di sebalik tunjuk perasaan yang berlangsung setiap hari bagi menuntut agar Encik Saleh dibicarakan kerana mengarahkan pembunuhan rakyat sepanjang 11 bulan pemberontakan berlarutan.

Undang-undang itu antara lain menetapkan bahawa ‘Presiden Ali Abdullah Saleh dan mereka yang bertugas dengannya, termasuk dalam institusi awam, tentera dan keselamatan, semasa tempoh beliau menjadi Presiden, diberi kekebalan undang-undang dan kehakiman.’

Para aktivis berkata Pengawal Revolusi yang dikendalikan anak-anak lelaki Encik Saleh bertanggungjawab atas sebahagian besar pembunuhan penunjuk perasaan.

Encik Saleh dijadualkan memindahkan kuasanya kepada Naib Presiden, Encik Abed Rabbo Mansour Hadi, pada 21 Februari ini.

Perjanjian pemindahan kuasa itu diusul oleh negara-negara Arab dan disokong Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri Yaman, Encik Mohammed Salem Basindwah, berkata:

‘Keadaan di Yaman masih berbahaya dan kami perlukan negara-negara Teluk bekerjasama dan membantu kami melepasi segala rintangan yang mungkin menghalang perjanjian Teluk ini dilaksanakan.’

Di Sanaa, beribu-ribu penunjuk perasaan membantah kekebalan yang diberikan kepada Encik Saleh, semalam.

Mereka menuntut agar beliau dan saudara maranya diheret ke muka pengadilan kerana membunuh lebih 1,000 penunjuk perasaan. — AP, Bloomberg.