Kabinet Bayangan DAP ‘Tidak Jejak Ke Bumi’ – Presiden PAS

1028

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: PAS menyifatkan kabinet bayangan yang dibuat oleh pimpinan parti DAP itu tanpa penyertaan Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan PAS sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Malaysia sebuah negara yang bermasyarakat majmuk dan mana-mana parti mesti berpijak di bumi Malaysia.

Manakala, katanya bagi jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri pula berdasarkan suara majoriti rakyat iaitu orang Islam yang menguasai kerajaan.

“Kita kena berpijak di bumi Malaysia. Bumi Malaysia ini masyarakat majmuk. Kita (PAS) ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Ngo-Ngo bukan Islam ada, dan bukan semua orang bukan Islam menyokong DAP.

“(jawatan tertinggi) Mesti rakyat yang majoriti dan majoriti (Malaysia) orang Islam, yang menguasai kerajaan. Itu (kabinet DAP) tidak berpijak di bumi Malaysia,” jelasnya ketika menjawab persoalan media mengenai kabinet bayangan DAP tanpa penyertaan parti PKR dan PAS serta jawatan ‘Perdana Menteri’.

Dato’ Seri Abdul Hadi ditanya ketika beliau selesai menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Beliau menjelaskan senario politik dalam masyarakat majmuk saling memerlukan antara Islam dan bukan Islam bagi mentadbir negara ini.

Selain itu, Ustaz Abdul Hadi turut ditanya tentang ‘respon’ PAS mengenai Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan Dato’ Seri Najib, katanya ada perkara yang positif dan negatif.

“RMK11,.. Insya’Allah, saya akan berucap pada hari Isnin atau Selasa, ada yang positif dan ada yang negatif.

“(positif) Kemudahan-kemudahan yang sudah ada, tapi masih yang ketinggalan di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang), di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak). Rakyat yang terpinggir masih ada, infrastruktur yang tidak sempurna walau pun sudah 50 tahun lebih (negara) mencapai kemerdekaan.

“(negatif) Krisis ekonomi, (kerajaan) bergantung pada cukai demi cukai. Sepatutnya, cukai yang dulu dan hasil yang ada sudah menyelesaikan masalah. Itu menandakan ‘kita’ (kerajaan BN) tidak boleh urus (negara) dengan baik.

“Itu kelemahan-kelemahan dia (BN), perlu dibetulkan dan (kita) beri peluang supaya diperbetulkan itu semua. Insya’Allah, saya akan berucap,” ujarnya.

Menurutnya, PAS akan mengambil bahagian membahaskan RMK11 itu di Parlimen bagi menyampaikan teguran serta pandangannya