Kabinet Baharu: Rakyat Untung atau Sekadar Menenangkan Tekanan Politik?

121
Ustaz Mohd Harun Esa

KUALA TERENGGANU – Pmembentukan Kabinet baharu dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar langkah politik untuk meredakan tekanan dalaman Kerajaan Madani.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, pengumuman Kabinet terbaharu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat dan rakan politik, dengan ada yang menyambut baik namun tidak kurang juga yang memandang sinis terhadap agihan portfolio yang dibuat.

“Perdana Menteri kekal memegang portfolio Kewangan, DAP pula dilihat ‘naik pangkat’ dengan beberapa kementerian strategik, manakala UMNO berlapang dada walaupun terpaksa memikul beban perjanjian politik tertentu,” katanya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada pembentukan Kabinet kali ini benar-benar berasaskan meritokrasi tulen atau sekadar ‘ubat penenang’ bagi memastikan konsesi politik dalam Kerajaan Madani terus terpelihara.

“Rakyat sebenarnya tidak peduli soal permainan kerusi, sebaliknya mereka mahu hasil yang nyata.

“Kementerian Pendidikan dan Kesihatan adalah dua kementerian bajet besar yang menyentuh kehidupan harian rakyat, menentukan nasib anak-anak di sekolah dan menyelamatkan nyawa di hospital,” ujarnya.

Mengulas penguasaan DAP terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Wilayah Persekutuan, beliau berkata kementerian itu sebelum ini sering dikaitkan dengan desakan mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas alasan pendemokrasian di peringkat tempatan.

“Pilihan raya PBT ini telah dibekukan sejak 1960-an dan dimansuhkan sekitar 1970-an.

“Namun ia kembali dibangkitkan atas nama akauntabiliti, walaupun terdapat kebimbangan soal dominasi kaum tertentu di kawasan bandar dan risiko ketegangan kaum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Akta Pembaharuan atau Pembangunan Semula Bandar (URA) yang menurutnya berpotensi membuka ruang kepada pembangunan semula ratusan kawasan lama di bandar.

“Di atas kertas, URA digambarkan sebagai peluang menaik taraf kediaman usang dan menjana nilai pembangunan berbilion ringgit, namun jika tidak dikawal dengan tegas, ia boleh meminggirkan golongan berpendapatan rendah dan mengubah demografi bandar,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga peringatan daripada pelbagai pihak mengenai risiko ‘de-Melayuisasi’ bandar serta kemungkinan pengambilan tanah secara tidak seimbang demi kepentingan pembangunan.

“Persoalannya sekarang, adakah perubahan Kabinet ini membawa kecemerlangan sebenar kepada rakyat atau sekadar hasil tekanan politik yang memaksa berlakunya tukar ganti,” katanya