Jual Air Mentah Kepada Pulau Pinang Bukan Soal Politik

972
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/pahrolrozi.jpg

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, Kerajaan PAS Kedah merancang untuk menjual bekalan air mentah kepada Pulau Pinang kerana telah memutuskan bahawa setiap liter air mentah yang dikeluarkan dari negeri ini harus dibayar.

Kata beliau, pihaknya sebelum ini cuba mengatur proses rundingan antara ‘kerajaan negeri dengan kerajaan negeri’ bagi memberikan penjelasan tentang penjualan bekalan air mentah tersebut.

“Kami merancang untuk menjalankan rundingan selepas pilihan raya umum lalu tetapi pentadbiran negeri ini kemudian bertukar tangan. Kini kerajaan Kedah (Barisan Nasional) dan kerajaan Pulau Pinang kena buat perundingan mengenainya.

“Ia melibatkan perundingan antara ‘kerajaan negeri dengan kerajaan negeri’. Kalau melibatkan politik, sudah tentu antara parti,” katanya dipetik sebuah akhbar tempatan.

Menurut Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, sebelum ini satu enakmen telah diluluskan dan di dalamnya terdapat peruntukan bagi menubuhkan satu badan iaitu Lembaga Sumber Air Negeri Kedah untuk menjaga sumber airnya.

Enakmen itu memperuntukkan mana-mana pihak yang mengambil air mentah berpunca dari negeri ini boleh dikenakan bayaran tertentu.