Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
PAS terus mendepani perjuangan setelah 63 tahun beroperasi dimedan ummah, antara motor yang menggerakkan harakatul ummah ini ialah sektor tarbiah. Tarbiyah Islamiyah itu adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan jasad, akhlak, roh dan intelektual. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan akhlak mulia yang memungkinkan para amilin jamaah itu hidup di dunia ini dalam setuntas mungkin mendasari syariat dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti.
PAS ialah gerakan Islam yang mengutamakan sektor amal tarbawi,maka tarbiyah Islamiyah itu dilaksanakan berasaskan kepada beberapa prinsip. Antaranya ialah :
1. Bahawa tarbiyah islamiyah itu adalah suatu perkara wajib lantaran ia merupakan wilayah utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t semenjak marhalah makiyyah.
Perkara ini diterangkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya, Maksudnya:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikamah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah kesesatan yang nyata.”
Justeru, Islam mewajibkan tarbiyah ke atas lelaki dan perempuan , apatah lagi abnaul harakah. Tanpa tarbiah , maka jemaah ini akan melakukan penyelewengan dan kemalangan fikrah yang akan memicu perbalahan, intriq dan polemik tak berkesudahan.
2. Tarbiyah Islamiyah itu berasaskan kepada keikhlasan kepada Allah s.w.t. iaitu mengajar dan mempelajari ilmu pengetahuan itu semata-mata kerana kepatuhan kepada Allah s.w.t. Tarbiah melahirkan para amilin yang kompeten, seimbang , menyebar kepedulian beragama, menjadi nukleus perjuangan dan tahanuji. Maka amilin wajib ikhlaskan diri untuk ditarbiah dan mentarbiah ahli yang lain.
3. Bahawa tarbiyah Islamiyah itu seumur hidup dalam perjuangan, dengan makna ruang masa program tajnid dan tarbiah tidak terikat dengan masa dan umur. Ia dilakukan secara berkekalan bermula daripada kandungan yang belum dilahirkan sampailah ke alam dewasa dan berpindah ke alam baqa’. Tidak ada seorang pun yang berbangga tentang piawaian tarbiah dirinya.
Tiada amilin dan abnaul harakah yang boleh merasakan bahawa dia adalah seorang yang paling alim , paling haraki, serbatahu dan bijak. Al-Quran menegaskan bahawa setiap seorang yang alim itu sudah pasti ada orang lain yang lebih alim daripadanya. Selain itu, Allah s.w.t. juga memperingatkan kita bahawa ilmu yang dicampakkankepada hamba-hambaNya adalah terlalu kerdil. Oleh itu, Islam menganjurkan agar pentarbiyahan dilakukan secara berkekalan, munazomah dan bersumber wahyu.
Menginsafi penting program amal tarbawi yang berterusan, maka Lujnah Tarbiah PAS Pusat akan mengadakan program liqa fikri untuk para pendokong jemaah ini berterusan menerima sentuhan tarbiah daripada murabbi jemaah. Maklumat program adalah seperti berikut:
Tarikh:13 DIS 2014
Sabtu
Tempat: Dewan Tertutup MPSJ Serdang Jaya, Seri Kembangan.Selangor
Masa: 8.30 pg – 2.00 ptg
Yuran RM15.00
Peserta Yg Terlibat :
1. Ahli Majlis Syura Ulama’
2. AJK PAS PUSAT
3. AJK Dewan Ulama PAS PUSAT
4. AJK Dewan Pemuda PAS PUSAT
5. AJK Dewan Muslimat PAS PUSAT
6.AJK Lajnah Tarbiyah PAS PUSAT
7.AJK Harian Dewan Ulama / Muslimat / Pemuda Negeri
8.Ahli Parlimen
9.Ahli Dewan Negera
10.Ahli Dewan Undangan Negeri
11.AJK Badan Perhubungan Negeri
Semoga harakatul ummah sentiasa bergerak seiring dan seimbang diantara sektor siasah,dakwah dan tarbiah bagi merengkuh sokongan massa dan sebagai wahana pemerkasaan jamaah tercinta ini. Mengabaikan sektor amal tarbawi bermakna kita membunuh secara perlahan harakah ini yang dibina oleh leluhur kita berpaksikan al Quran, hadith, ijmak dan qias. Jom kita turun ke liqa’fikri kali ini.