Jihad Dalam Pemberitaan, Mencurahkan Segala Kesungguhan Untuk Memperolehi Maklumat

1552

Saya meletakkan satu perkara yang paling penting sekali untuk kita laksanakan tugas kita (sebagai pemberita) adalah aspek keikhlasan.

Sebab mana-mana tempat pun kebanyakkan para alim ulama meletakkan keikhlasan adalah suatu perkara yang utama ketika kita nak melaksanakan sesuatu kerja.

Duduklah posisi manapun samada kita menjadi seorang pendakwah, kita perlu ikhlas. Kalau kita jadi seorang pemimpin, kita perlu kepada keikhlasan. Kalau kita petugas biasa, kita perlu kepada keikhlasan. Walaupun kita memberi ilmu kepada orang lain, kita perlu kepada keikhlasan.

Aspek ikhlas ini menghubungkan kita dengan akhirat. Kalau setakat kita duduk atas dunia, kita boleh cari aspek lain. Tapi kerana kita ada satu lagi ‘jambatan’ untuk kita tuju pada hari akhirat, maka ikhlas adalah suatu perkara yang telah diberikan perhatian oleh nabi SAW.

Al-Imam An Nawawi rahimahullah, ketika mana membuka kitab-kitab hadis yang disusun oleh beliau, kita mendapati hampir kebanyakkan kitab hadis beliau akan dimulai dengan hadis tentang niat ataupun tentang ikhlas.

Bercakap tentang ikhlas mudah tapi bila kita masuk dalam pelaksanaan, ia jadi payah. Walaupun benda tersebut sangat ringan untuk kita bicarakan. Sangat ringan untuk kita tulis. Sangat ringan untuk kita jadikan dia sebagai satu bahan tazkirah.

Abdullah bin al Mubarak rahimahullah menyebut dalam satu kata-kata hikmah beliau,”Berapa banyak amalan yang kecil, Allah agungkan amalan tersebut kerana peranan yang ada pada niat. Berapa banyak amalan yang besar tapi Allah SWT memperkecilkannya.” Amalan dia besar, kerja dia hebat tapi Allah memperkecilkan amalan tersebut ataupun menghancurkan terus amalan tersebut dengan sebab niat.

Maka kalau kita tengok apakah perkara yang besar kita buat. Kalau kita jadi seorang penceramah, nampak besar sebab gambar kita duduk dalam ‘banner’, gambar kita duduk dalam poster. Tapi kalau hilang niat ikhlas kita walaupun besar kita nampak tapi tak ada nilai.

Kemudian walaupun kecil, contoh kita buat berita. Nampak kecil. Guna pun nama samaran. Orang pun tak tahu siapa buat berita. Ramai orang baca tapi tidak dikenali siapakah individu. Pada waktu tersebut dengan sebab peranan niat kita yang ikhlas, Allah Taala memperbesarkan dia. Memperagungkan dia kerana peranan yang ada pada niat.

Sebab itu semua posisi dalam Islam ini dia sangat penting. Kalau kita ada jambatan pergi ke akhirat tapi kalau tiada jambatan ke akhirat, kita duduklah kat mana pun hatta berada dalam jemaah Islam, kita akan gagal untuk mendapat peluang yang dikurniakan oleh Allah, yang ditawarkan oleh Allah SWT.

Balik pada tugas kita. Tugas kita pada hari ini adalah untuk menyebarkan berita-berita dan maklumat berita-berita kita ini tentulah sekali perlu kepada disiplin yang sangat tinggi.

Sebab itu Allah SWT menyebut dalam satu ayat quran yang bermaksud,” Wahai orang yang beriman, kamu mesti bertakwa kepada Allah. Dan hendaklah kamu tengok apa yang kamu nak buat esok. Dan kamu mesti bertakwa kepada Allah.”

Satu kita sebagai orang yang beriman, kita kena bawa prinsip bertakwa kepada Allah. Bila sebut saja bertakwa kepada Allah, esok yang kita nak rancang pun mesti bertakwa kepada Allah.

Maknanya hari ini kita bertakwa kepada Allah. Esok kita nak buat apa?. Kita bekerja untuk menangkan PAS sebagai satu contoh, supaya dapat martabatkan Islam. Kamu mesti buat kerja dengan bertakwa kepada Allah.

Jadi kerja kita sebagai pemberita kena duduk pada disiplin situ.

Apa makna takwa? Takwa ialah buat apa yang Allah perintah dan tinggalkan apa yang Allah larang. Samada kita duduk seorang diri secara sunyi ataupun kita duduk ditempat orang awam atau orang ramai.

Maka bila kita ada disiplin tersebut, kita akan karang berita dalam keadaan yang penuh disiplin. Sebab itu kita berbeza dengan pemberita-pemberita lain.

Pemberita lain boleh timbulkan persepsi. Pemberita lain boleh reka benda yang bukan-bukan. Tapi kita bergantung kepada fakta kerana dia akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu dia perlu kepada mujahadah iaitu kesungguhan. Dan disinilah orang sebut, kita terlibat dalam jihad.

Jihad dalam pemberitaan. Macamana jihad dalam pemberitaan? Kita mencurahkan segala kesungguhan kita untuk memperolehi maklumat.

Maka kita nak bawa berita, kita pun akan bawa berita dengan kajian. Kita akan bawa berita dengan penelitian. Kita akan bawa berita dengan bukti bergambar. Kita tak bercakap ikut sedap kita. Kita ada disiplin kita sendiri.

Bukan kerana takut pada undang-undang. Tapi kerana kita ada disiplin yang cukup kuat dengan asas takwa yang telah dipesan oleh Allah SWT.

Kunci kejayaan kita duduk situ. Sebab itu kita jangan rasa bila kita bawa pemberitaan, kita akan rasa ‘sangkut’ nak bawa berita cara kita sekarang ini, payah. Kalau bawa berita cara orang lain mudah kita nak reka. Nak tabur fitnah pun boleh macam Serawak Report buat. Kita boleh menarik perhatian orang.

Tetapi insya Allah pemberitaan yang kita bawa ini adalah satu pemberitaan yang ada disiplin dan kualiti yang tinggi.

Itulah kaedah yang dibawa oleh nabi SAW. Sebab itu seorang nabi, dia dikenali dengan ‘An Nabi’. Nabi ni maknanya dia bawa berita. Berita apa nabi bawa? Satu berita baik. Kedua berita yang tak baik. Dan semua berita baik dan buruk ni adalah berita akhirat yang nabi bawa.

Maka prinsip kita pun begitu juga. Kita kempen orang supaya sokong Islam. Supaya mereka boleh kebaikkan hari akhirat. Kita bawa berita supaya kita jauhi kezaliman. Supaya hari akhirat nanti dia akan duduk ditempat yang lebih baik dan tidak disentuh kerana kita ni cenderung kepada kezaliman.

Maka dengan disiplin yang cukup mudah ini kita perlu rasa beruntung sebab Allah posisikan kita duduk dalam ‘petugas media’ yang bawa berita yang boleh untuk memperkenalkan perjuangan kita di masyarakat awam.

Jadi kita harap selepas daripada ni insya Allah diperingkat PAS Kawasan Kuala Nerus, seluruh anggota petugas kita ni akan mampu untuk memperdayakan balik media pemberitaan dan kita ucap terima kasihlah kepada yang sudi untuk jadi pemimpin dan membantu kita sepenuhnya sehingga melahirkan beberapa orang pemberita dari Kuala Nerus.

Mudah-mudahan Allah SWT berkati kita dan terus beri kekuatan kepada kita. Wallahu a’lam ….

***Ucapan YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Taujihat Untuk Petugas Media Kawasan Kuala Nerus, di KOMTAQ, 12hb September, 2017