Semalam, enam lagi syarikat dikenalpasti turut terbabit, menurut laporan versi dalam talian akhbar Jakarta Post, pada hari yang sama.
Insiden kebakaran itu telah memulakan perang mulut antara Indonesia, sebagai punca masalah pencemaran udara itu, dengan Malaysia dan Singapura sebagai negara-negara yang menerima kesan jerebunya.
Menteri Sekitaran Indonesia, Balthasar Kambuaya, kelmarin berkata lapan syarikat kelapa sawit telah menggunakan wadah tidak sah itu sebagai cara termurah membersihkan ladangnya bagi tujuan penanaman.
“Kementerian masih mengumpulkan lebih banyak bukti dan pengesahan dari tempat kejadian. Kebakaran itu, sememangnya, berlaku pada tanah konsesi mereka,” kata Balthasar di Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau.
“Saya akan segera bertemu dengan rakan sejawatan saya dari Malaysia bagi memberitahu beliau mengenai dapatan itu dan mencari jalan menyelesaikan isu masakini dan menghentikannya daripada berulang pada masa depan,” kata beliau, seperti ditukil laporan Jakarta Post itu.
Dakwaan itu disiasat selanjutnya oleh Polis Riau, menurut laporan itu.
Syarikat-syarikat berkenaan ialah PT Langgam Inti Hibrida; PT Bumi Reksa Nusa Sejati; PT Tunggal Mitra Plantation; PT Udaya Loh Denawi; PT Adei Plantation; PT Jatim Jaya Perkasa; PT Multi Gambut Industri dan PT Mustika Agro Lestari.
Tunggal Mitra adalah sebuah unit daripada syarikat Minamas Plantation, anak syarikat kepada syarikat Malaysia, Sime Darby Plantations, manakala Adei Plantation dimiliki oleh KL Kepong Berhard.
E-mel kiriman Jakarta Post kepada syarikat berkenaan masih belum dijawab.
Timbalan III Kementerian Sekitaran Indonesia bagi degradasi sekitaran dan perubahan iklim, Arief Yuwono, berkata bahawa di bawah undang-undang sekitaran Indonesia, denda bagi menyebabkan kebakaran hutan yang dilakukan secara tidak sah adalah hukuman maksimum penjara selama 10 tahun dan denda sehingga 5 bilion rupiah ($650,000).
Enam lagi syarikat lain dilaporkan turut terbabit, tetapi Encik Balthasar enggan menamakannya setakat ini.
Syarikat-syarikat perladangan sering mengarahkan penduduk setempat membakar hutan dan tanah gambut berdekatan tanah konsesinya dengan harapan kebakaran itu akan merebak ke tanah mereka.










