KUCHING – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaruh keyakinan tinggi bahawa penerimaan rakyat terhadap PAS di Sarawak bakal meraih kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.
Ini kerana, katanya pada pilihan raya kali ini PAS mempunyai ramai petugas parti di kalangan anak-anak tempatan.
Menurutnya, gerak kerja kempen jentera pilihan raya parti berjalan dengan baik serta menunjukkan perkembangan positif rakyat.
“Malam ini kami mendengar laporan terakhir daripada Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak. Persiapan terakhir sebelum pilihan raya pada hari Sabtu, 7 Mei ini.
“Dari segi gerak kerja jentera pilihan raya dan perjalanan kempen parti, Alhamdulillah berjalan dengan baik dan perkembangan sangat positif.
“Ini kerana, kita (PAS) telah kali ketiga pilihan raya di Sarawak ini. Kita dapati kita (PAS) telah mencapai kemajuan lebih daripada pilihan raya yang lalu.
“Apa yang pentingnya, kita (PAS) mempunyai petugas-petugas, anak-anak tempatan dengan jumlah yang lebih besar dari sebelumnya,” ujarnya pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, di Matang Jaya, Kuching, semalam.
Kata Ustaz Abdul Hadi, perkembangan positif PAS pada kempen pilihan raya kali ini bakal meraih kemenangannya kelak.
Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata PAS bakal meraih kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak.
Justeru, kata beliau PAS akan mempertingkatkan kempen parti bagi mendekati para rakyat hingga ke hari mengundinya.
“Alhamdulillah, dengan kemajuan kita (PAS) telah meningkat dari segi persiapan yang telah kita buat dan kemajuan yang telah kita capai. Walau pun masih ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan.
“Ini telah memberi gambaran yang positif untuk kita (PAS) capai sebagai kemenangan di Sarawak. Kemenangan yang pertama dan itu bukan satu Dun, mungkin dua Dun, tiga Dun atau lebih lagi.
“Berdasarkan keputusan yang kita (PAS) ambil dan mengarahkan supaya peningkatan itu akan terus dilakukan dan sehinggalah kita akan mencapai pada hari mengundi,” jelasnya.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS selaku Pengarah PRN Sarawak, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan.
https://youtu.be/WVef7yixsog










