Jawi Buka Kertas Siasatan Kes Kassim Ahmad

1669

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran Seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian”, di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu.

paimuziPengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam kenyataannya berkata pihaknya sedang menyiasat dan mengenalpasti beberapa orang saksi yang menghadiri seminar berkenaan.

“Saya menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan sebarang provokasi bagi mengelakkan sebarang ketidakharmonian,” kata kenyataan itu.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi bagi membantu siasatan.

Pada Ahad lepas, Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai ‘kasta paderi’ dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.