Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Hanya Membuang Masa dan Peruntukan

2325

Pada 25hb Oktober, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan bajet RM63 juta untuk menubuhkan 24 zon Jawatankuasa Perwakilan Penduduk di setiap PBT. Ini adalah satu initiatif baru dan memakan belanja besar. Beliau berkata JPP akan bertindak sebagai satu entity yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat bagi menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-isu perbandaran di kawasan PBT.

Pada 30hb Oktober, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Kerajaan akan menubuhkan 148 JPP. Menteri berkata, inisiatif baharu itu juga hasil maklum balas semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu yang menunjukkan rata-rata penduduk bandar tidak memahami dengan jelas tentang program dan dasar kerajaan.

”JPP itu akan diwujudkan di setiap kawasan bandar di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. ”Inisiatif ini memudahkan penduduk bandar mengutarakan permasalahan dan cadangan kepada kementerian atau agensi di bawahnya,” katanya.

Pakatan Rakyat secara umumnya menyambut initiatif kerajaan dengan hati yang terbuka. Walau bagaimanapun, cadangan JPP menimbulkan pelbagai persoalan.

Tugas-tugas JPP yang disebut oleh Perdana Menteri dan Menteri KPKT mirip kepada fungsi ahli majlis. Mengikut akta Kerajaan Tempatan 1976, ahli majlis bermaksud:

“Councillors of the local authority shall be appointed from amongst persons the majority of whom shall be persons ordinarily resident in the local authority area who in the opinion of the State Authority have wide experience in local government affairs or who have achieved distinction in any profession, commerce or industry, or are otherwise capable of representing the interests of their communities in the local authority area.”

Fungsi JPP yang dicadangkan oleh KPKT adalah sama dengan tugas ahli majlis. Maka, kami syaki bahawa Kerajaan Pusat ingin memusatkan kuasa dengan menubuhkan JPP sebagai “Ahli Majlis Lantikan Persekutuan” atau “Federal Councillors”.

Ini mungkin satu cubaan rampasan kuasa dari Kerajaan Negeri dan PBT. Penubuhan JPP juga mungkin melanggar perlembagaan, sebab PBT merupakan bidang kuasa kerajaan negeri. Saya menyeru kerajaan tempatan dan kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap initiatif ini. Setakat ini, kurang perdebatan berkenaan initiatif ini dari kerajaan-kerajaan negeri.

Mengikut kenyataan Menteri, tujuan penubuhan JPP ini juga penuh dengan tujuan politik, iaitu kekalahan UMNO/BN di kawasan Bandar dalam PRU13. Maka, dalam konteks ini, JPP mungkin bertumpu di PBT-PBT kerajaan Pakatan Rakyat. JPP mungkin bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan pusat tidak menghormati mandat rakyat yang mengundi kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dalam PRU13, negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan memberi lebih 2/3 kerusi kepada Pakatan Rakyat, ini menunjukkan sokongan padu daripada rakyat kepada pentadbiran negeri Pakatan Rakyat.

Kami berpendapat bahawa, penubuhan JPP hanya membuang masa dan peruntukan kerajaan. Ini disebabkan kuasa-kuasa PBT sebenarnya terletak di bawah kerajaan negeri. Fungsi JPP terhad dan melanggar perlembagaan. Kerajaan pusat harus akur bahawa kuasa PBT terletak di bawah kerajaan negeri dan elakkan daripada melanggar (encroach) kuasa-kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan Pusat sebaliknya harus membenarkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk memberi mandat yang lebih besar kepada pentadbiran PBT. Kami percaya, pilihanraya kerajaan tempatan akan menjadikan Ahli Majlis lebih effektif dalam urusan perbandaran.

YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru – PKR)
YB Dato Takiyuddin (Kota Bharu – PAS)
YB Kasturi Patto (Batu Kawan – DAP)