Jauhi Fitnah, Kerja Keras Rampas Air Putih

1819

KEMAMAN – Ahli-ahli PAS diingatkan agar mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan dan pembunuhan besar-besaran sesama Islam di zaman Khalifah Utsman dan Ali hanya kerana mempercayai fitnah dan gopoh dalam bertindak.

Menurut Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah, rekod sejarah Islam menunjukkan fitnah yang dahsyat bermula di zaman Khalifah Utsman, berlarutan sehingga ke zaman pemerintahan Saidina Ali dengan korban sehingga puluhan ribu hasil daripada fitnah-fitnah itu.

“Dicatatkan dalam sejarah Islam, orang yang mula-mula bertanggungjawab memulakan fitnah dalam masyarakat Islam ialah Abdullah bin Wahhab bin Saba’ ataupun dikenali sebagai Abdullah bin Saba’.

“Antara fitnah yang disebarkannya ialah Saidina Utsman telah membakar al-Quran, dan dipercayai pula oleh orang yang mendengar itu,”ujarnya

Bahkan, kata beliau, fitnah itu tersebar sehingga ke Kuffah, Mesir dan lain-lain, dan bermulalah gerakan untuk membunuh Saidina Utsman.

_DSC0118Akhirnya, Ustaz Mohd Nor berkata, Saidina Utsman dibunuh ketika orang ramai sedang mengerjakan haji dan permusuhan itu terus bersambung ke zaman Saidina Ali yang kemudiannya Perang Siffin pula tercetus antara Saidina Ali dan Muawiyyah.

Oleh itu, beliau menggesa agar semua ahli jangan terlalu cepat melatah apabila mendengar berita-berita yang tidak pasti daripada pihak-pihak terutamanya golongan ‘keyboard warrior’.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Bukit Mentok / Tanjung Mak Tat di dalam Dun Air Putih, Kemaman semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah mantan ADUN Air Putih, Haji Ismail Harun yang juga menjadi ketua PAS cawangan tersebut.

Tambah beliau lagi, ahli-ahli PAS seharusnya sanggup berkorban terutama tenaga dan wang bagi menggerakkan cawangan dan sekaligus menguatkan PAS Kawasan Kemaman dalam mengadapi cabaran dari seteru politik utama iaitu Umno.

Sementara itu, Haji Ismail pula berharap agar ahli-ahli bersungguh-sungguh menjaga dan bekerja bagi menguatkan parti kerana menurut beliau tertubuhnya cawangan ini, adalah hasil daripada perjuangan orang dahulu.

Jelas beliau, seorang pengasas PAS di kampung itu bernama Haji Halim Othman ketika tahun 60-an hanya berseorangan bergerak untuk parti, sehinggalah sekarang jumlah ahli cawangan itu telah mencecah seramai 195 orang.

Jika semua ahli benar-benar sanggup berkorban demi Islam, maka beliau yakin Dun Air Putih akan kembali dirampas buat kali ketiga dalam PRU 14 nanti.