Janji Urus Tadbir Felda Dengan Baik Ketika Peneroka Sudah Berani Berdemo Di Hadapan Pejabat Pengurusan

2759

Oleh : Naraza Muda

Ribuan Peneroka dan penerokawati hampa dengan Perdana Menteri selepas mendengar ucapan Perdana Menteri di Hari Peneroka Kebangsaan di Jengka pada 23hb September. Ramai yang mengadu mendakwa ucapan yang sangat menambah keserabutan terhadap apa yang telah terjadi terhadap mereka sejak penyenaraian FGV 2012 yang lalu.

Mereka yang keluh resah sejak awal tahun ini bila notis pembayaran hasil BTS mereka terpaksa dilewatkan pembayaran sehingga sebulan tidak seperti lazimnya. Mereka juga terpaksa mencari duit lain untuk menyambut Aidifitri yang lalu bila pihak pengurusan gagal membayar duit bulanan mereka di beberapa tanah rancangan Felda.

Inilah ucapan keramat Perdana Menteri dan mendapat tepukan gemuruh daripada peneroka yang masih tidak sedar dan mengikut apa saja tindakan Najib terhadap mereka. Mereka yang sedar pula hanya mampu diam dan mengalir air mata mengenangkan nasib bakal ditempuh mereka.

Naraza Muda.....Perumahan FeldaBukit Tajau yang tergendala dan terbiar......
Naraza Muda…..Perumahan FeldaBukit Tajau yang tergendala dan terbiar……

“Semua itu saya dengar. Ada yang jumpa saya. Ada yang hantar surat dan memorandum. Semua itu saya akan kumpul dan rumuskan. Tak lama lagi akan diumumkan penambahbaikan dalam urus tadbir Felda agar lebih maju dan berjaya. Saya harap peneroka bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2016 di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam,

Najib berkata, pelaksanaan Makmal Memperkasakan Hala Tuju Kumpulan Felda melibatkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri, Unit Kawal Selia Felda (UKSF) serta pelbagai tenaga pakar dalam bidang berkaitan diwujudkan untuk mengumpulkan, mengkaji dan merumuskan permasalahan tersebut.

“Pengumuman khas akan dibuat selepas ini setelah semua kajian dirumuskan oleh makmal itu nanti. Bersabarlah! Begitu juga perkembangan harga buah sawit, kerajaan sedang bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dalam usaha meningkatkan harga sawit.

“Kita telah bincang agar harga kelapa sawit dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa dan memberi lebih pendapatan kepada peneroka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib menyatakan keyakinan bahawa saham Felda Global Ventures (FGV) akan meningkat kembali.

“Saya yakin keuntungan FGV boleh pulih dan mudah-mudahan saham boleh meningkat. Semua perlu faham mengenai saham, pasti ada turun naik bergantung keadaan ekonomi dunia. Kita tiada kuasa untuk kawal,” katanya.
Petikan ini disiarkan oleh akbar Sinar pada 24hb September 2016 http://www.sinarharian.com.my/nasional/pm-janji-tambah-baik-urus-tadbir-felda-1.565651

......Perumahan Felda Chini.....sama nasib deperti Felda Bukir Tajau??
……Perumahan Felda Chini…..sama nasib deperti Felda Bukir Tajau??

Tiada durian runtuh, tiada pengumuman penyelesaian hutang yang mencengkam mereka, tiada jalan penyelesaian rumah generasi kedua yang masih menjadi misteri penyelesaian untuk disiapkan seperti PGBF di Felda Neram 1, PGBF di Felda Kertih 5, PGBF di Felda Bukit Bading yang hanya tinggal papan tanda, Projek sentuhan kasih di Felda Tenang Besut dimana Exco kerajaan Terengganu mengaku projek ini hanya tinggal papan tanda sahaja dan banyak lagi di Terengganu.

Projek perumahan untuk Generasi kedua di Felda Bukit Tajau, Maran Pahang bernilai RM10.5 juta sebagai contoh. Saya turun meninjau sendiri dua hari sebelum saambutan Hari Peneroka 2016. Projek ini dibiar tenggelam dalam semak samun. Bila Perdana Menteri umum peruntukan RM1.4 bilion pada tahun 2012 untuk menyediakan 20ribu unit rumah seluruh negara, PGBF anak-anak Felda menyambut dengan air mata keriangan.

Pilihanraya Umun yang lalu Barisan Nasional menang selesa di 51 parlimen yang ada Tanah Rancangan Felda. Anak -anak muda sangat mengharapkan mereka memiliki kediaman yang sempurna selain boleh membantu ayah dan ibu mereka yang kian uzur kerana peneroka mula mendiami Bukit Tajau sejak 1969 lagi dengan tanaman getah ( kini ditukar kepada sawit ).

Sampai bilakah kami semua anak-anak generasi Felda akan terus dinafikan untuk memiliki kediaman sendiri? Kerugian terus menerus dicatat apabila banyak peralatan pembinaan menjadi rosak dan dicuri. Siapakah yang bertanggungjawab?

Perumahan Felda Chini......Bilakah bilakah akan siap?
Perumahan Felda Chini……Bilakah bilakah akan siap?

Masalah yang sama banyak lagi berlaku di Pahang seperti satu laporan dari Akbar Felda Aspirasi Glokal keluaran 30 Ogos 2015 menyatakan di Pahang sahaja terdapat 7 projek PGBF yang dikotegerikan ‘sakit’. Selain Felda Bukit Tajau , Felda Bukit Sagu, Felda Kampung Awah, Felda Sungai Rentang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6 dan Felda Chini 3. Pihak Felda mengaku terpaksa membuat pinjaman RM300juta dari Bank Pembangunan untuk menyiapakan segera projek ini. Sehingga hari ini ( 24hb September 2016) tiada nampak kelibat bayangan projek ini akan disiapkan.

Walaupun pengerusi Felda mengulangi janji pada Ogos lalu, Felda akan menyiapkan 8400 unit PGBF yang sedang dalam pembinaan pada 2017 akan siap sepenuhnya dan baki hampir 11,600 lagi pada 2018 setelah mendapat pembiayaan bank menjadi satu lagi tanda tanya anak-anak generasi Felda.

Kenapa perlu tunggu pembiayaan bank, sedangkan Perdana Menteri pada tahun 2012 telah mengumumkan peruntukan RM1.4 bilion untuk membina 20,000 unit rumah generasi kedua dalam tempuh 5 tahun. Jika dilihat dari keadaan semasa projek PGBF yang sedang mengalami masalah terbengkalai tidak memungkinkan janji ini ditepati dan akan menjadi bahan tawar menawar politik sempit kerajaan yang memerintah.

Sungguh malang nasib anak- anak peneroka Felda seluruh negara. Hanya sebilangan kecil sahaja di seluruh negara yang sudah mendiami PGBF daripada sasaran 20,000 unit ini. Jika dilihat dari luaran kemampuan kewangan Felda tidak munasabah perkara ini berlaku. Apa benar andaian orang ramai bahawa felda sekarang sudah kekeringan aliran tunai sejak di tranformasikan oleh perdana Menteri beberapa tahun lalu.

Mana janji Perdana Menteri, berucap bergegar-gegar dihadapan ribuan peneroka yang sudah berumur semasa melancarkan Tranformasi Felda, janji nak melahirkan golongan peneroka Felda setaraf pendapatannya dengan golongan berpendapatan tinggi di negara maju.

Felda Chini3
Pembinaan rumah Felda Chini……masih terbengkalai???

Janji saham FGV akan mengubah kehidupan warga Felda selepas penyenaraian FGV di BSKL, hanya setahun sahaja peneroka akan mendapat keuntungan yang akan membantu menambah pendapatan mereka hanya tinggal janji. Sekarang mereka terpaksa membayat RM50 setiap bulan kerana pinjaman memiliki 800 unit saham kini tidak mampu dijual untuk memperoleh keuntungan sepertimana di janjikan Perdana Menteri.

Sekarang peneroka resah memikirkan nasib mereka yang menyerahkan urusan ladang mereka kepada syarikat Technoplant. Apa cerita hanya 3 orang daripada 150 peneroka Felda Selasih Setiu, yang masih bersama Felda Technoplat. Jika tiada masalah masakan tinggal 3 orang?

Apa kisah di Felda Tun Ghafar, Kemendor Melaka? Apa cerita urus tadbir Felda Technoplant di Felda Chiku 3 Gua Musang yang sudah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Felda. Apa penjelasan Felda mengenai urus tadbir yang teruk di Felda Soeharto, Felda Gedangsar dan Felda Sungai Tengi di Selangor. Dan banyak lagi ni seluruh negara.

Memang benar pengakuan Perdana Menteri ketika berucap di Stadium pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2016 di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam, ada 300 aduan kes besar dan Kecil diadukan kepada beliau dan pihak pengurusan Felda yang beliau menanam janji akan menilai dan merumus sedikit masa lagi bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Sampaibilakah kita warga Felda perlu memberi peluang dan peluang kepada mereka yang mengurus harta Felda dengan cara ini? Apakah kita sanggup melihat apa yang dibina oleh Tun Abdul Razak sejak 1956 akan menjadi porak peranda seperti hari ini? Sanggupkah kita warga Felda melihat Tan Sri Isa Abdul Samad terus mengikis setiap sen duit Felda? Sabar…..kata Perdana Menteri.

Hanya kita sahaja warga Felda mampu memberi jawapan dan mampu menyelamatkan Felda dari kemusnahan ini. Simbolik sambutan tahun ini kerana peneroka berkumpul di Stadium yang menggunakan duit mereka sendiri.

***Naraza Muda ialah Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat