Janji Manifesto Gagal Tunaikan, Janji Pula Selesaikan Covid-19

189

Demikianlah terdapat amalan politiking murahan semata-mata untuk menipu rakyat yang lemah akalnya dan mudah lupa atau jahil berkenaan segala-galanya. Mereka lupa betapa janji Pilihan Raya Umum-14 yang lalu tenggelam dalam perbalahan siapakah yang patut menjadi Perdana Menteri, bukannya mereka berusaha memenuhi kewajipan bagi menunaikan janji manifesto. Setelah kerajaannya hilang, pihak lain pula yang dipersalahkan.

Berfikirlah dengan matang dan sejahtera. Adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU-14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi. Walhal sehingga sekarang belum ada mana-mana negara yang berjaya menanganinya.

Adakah mereka yang sebegitu rupa masih boleh dipercayai, apabila secara tiba-tiba bertempik dengan berdemonstrasi dan mengangkat slogan gagah perkasa kononnya mampu menghadapi wabak yang melanda seluruh dunia hari ini. Sedangkan mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan?

Berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat yang menipu pelanggan, dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan. Mungkin politik yang diamalkannya berpisah daripada sempadan agama dan moral yang luhur, suatu sifat yang tidak boleh diterima oleh masyarakat yang beragama, berakhlak dan berakal sihat. Inilah sebenarnya yang dinamakan dengan politik yang kotor.

Rakyat dihabiskan masa dengan cara yang kotor ini, khususnya disebarkan melalui media tanpa sempadan yang membawa wabak yang merosakkan kefahaman dan mempengaruhi masyarakat sehingga ramai yang diperbodohkan. Caranya hanyalah menyebarkan masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan dan menutup banyak kejayaan yang telah dicapai.

Lebih parah sekiranya gerakan yang merosakkan masyarakat ini didalangi oleh musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya. Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya.

Maka, seluruh rakyat wajib bersatu dalam menghadapi wabak penyakit pemikiran dan kefahaman yang lebih berbahaya daripada wabak Covid-19. Suatu wabak yang boleh mematikan syakhsiah umat, bahkan lebih berbahaya jika dibandingkan dengan wabak Covid-19 yang mematikan jasad serta mencabut roh mereka yang masih beriman dan berakhlak mulia.

Kita telah berjaya menjatuhkan kerajaan yang tidak bermoral itu, dengan dibantu oleh mereka yang sedar akan kebocoran bahteranya sendiri. Kemudian, digantikan dengan kerajaan yang bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis. Hal ini demikian kerana, perkara yang wajib hendaklah ditunaikan dan tidak semestinya dilakukan hanya setelah berjanji. Walau bagaimanapun, ia tetap wajib ditunaikan, malah berdosa sekiranya tidak ditunaikan.

Lebih besar dosanya jika tidak menunaikan janji dalam perkara yang wajib ditunaikan oleh sesebuah kerajaan. Apatah lagi berdosa sekiranya menghabiskan masa dengan perebutan jawatan yang diharamkan meminta-minta dan menjadi kecintaan hidup duniawi. Malah berdosa kerana berbohong dan menipu rakyat demi mencapai cita-cita sehingga menghalalkan segala cara.

Rasulullah SAW telah ditunjukkan pada malam Isra’ dan Mi‘raj, bahawa seorang yang memikul berkas kayu yang tidak mampu diangkat, tiba-tiba menambah lagi bebanan beberapa kali sehingga menjadikannya lebih tidak berkemampuan. Keadaan tersebut menunjukkan adanya kalangan manusia yang bersifat demikian, penyakit yang wajib dijauhkan dan tidak layak untuk memimpin negara dan rakyat.

Sesungguhnya amanah untuk mentadbir politik negara merupakan satu tanggungjawab yang paling besar kepada manusia. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢ لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا٧٣﴾

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka semuanya enggan memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Sesungguhnya kebanyakan manusia itu amat zalim dan amat jahil. (72); (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) Akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafiq serta orang-orang perempuan yang munafiq, dan orang-orang lelaki yang Musyrik serta orang-orang perempuan yang Musyrik; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. (73).” (Surah al-Ahzab: 72-73)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Zulhijjah 1442 / 23 Julai 2021