Oleh : Fatimah Din
MARANG – Para pendakwah dan anggota gerakan Islam diingatkan agar tidak sibuk mentarbiyah orang lain sehingga mengabaikan pendidikan diri sendiri.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kelemahan dalaman diri sendiri mampu menggugat tekad istiqamah dalam perjuangan.
“Seseorang mungkin berjaya mengubah orang lain melalui dakwah dan didikan, namun tanpa penjagaan hati, amal serta hubungan yang berterusan dengan tarbiyah, dirinya sendiri juga boleh tersasar daripada landasan perjuangan,
” orang lain mungkin boleh berubah hasil daripada didikan kita, namun jika hati dan amal kita tidak dipelihara, nescaya kita juga boleh hanyut tanpa sedar,” ujarnya.
Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Terengganu itu berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan dalam Liqa’ Fikri Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang, di sini pada 4 Ogos.
Beliau turut mengingatkan agar kesibukan menguruskan organisasi tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan program pembinaan rohani seperti usrah, tamrin dan sesi tarbiyah.


“Sebab kita terlalu sibuk hadir mesyuarat, janganlah sampai kita rasa selesa apabila tidak hadir usrah, tamrin dan tarbiyah. Kita disibukkan dengan pelbagai kewajipan sehingga akhirnya kurang memberi fokus kepada tarbiyah diri,”
” kemenangan yang dikecapi hari ini bukanlah hasil usaha individu tertentu semata-mata, sebaliknya lahir daripada pengorbanan ramai pejuang terdahulu yang bekerja dalam keadaan serba mencabar..
“Jangan kita rasa kita hebat, PAS menang bukan sebab kita. Mungkin kerana pengorbanan ahli-ahli di cawangan yang berjuang sebelum ini. Hari ini kita berada dalam zaman kemenangan, maka pengorbanan semakin berkurangan berbanding zaman sebelum menang,” katanya.
Tambahnya, apabila tarbiyah mula dipandang ringan dan sifat ujub mula menguasai diri, keadaan itu boleh menjadi punca kepada keruntuhan ukhuwah, perbalahan serta melemahkan kekuatan parti.
“Perkara sebeginilah yang boleh menyebabkan keruntuhan, perbalahan dan akhirnya parti menjadi tidak terjaga,” jelas beliau.
Program pada Selasa itu, telah menghimpunkan seramai 86 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kawasan Marang, para naqibah kawasan, guru-guru PASTI serta peserta Gen-3 Marang.































