KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut memberi peringatan keras kepada kerajaan, jangan sampai rakyat bangkit dan berarak menuntut keadilan di Wisma Darul Iman.
Beliau berkata, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman diingatkan agar berlaku adil kepada rakyat yang terlibat dengan projek pembangunan Kuala Terengganu-Bypass dari Kampung Durian Burung ke Kampung Tok Molor.
“Saya bimbang jika rakyat makin marah. Saya tidak tahulah jika dia (Ahmad Razif) sedia untuk tunggu rakyat berarak ke Wisma Darul Iman lagi. Tapi, saya tidak menolak kemungkinan (berdemontrasi) itu,
“Ini pernah berlaku dalam kes (pengambilan tanah) di Kampung Banggol Donas. Mereka (penduduk) berarak pergi jumpa Menteri Besar dan rakyat bangkit bila tanah mereka diambil secara tidak setimpal,” tegasnya.
Menurutnya, rojek itu yang melibatkan pengambilan balik tanah rakyat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa oleh ditawarkan bayaran tidak setimpal oleh penduduk terbabit.
Manntan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata, PAS akan terus membantu rakyat yang dizalimi serta dinafikan hak mendapat keadilan.
“Kita (PAS) juga akan terus membantu mereka-mereka yang terlibat dizalimi. Mereka yang kena zalim kita akan bantu dan jika hendak kerah rakyat untuk turun (berarak) kita turunlah.
“Mereka bukan anti pembangunan tetapi sebab tidak diberi hak mereka. Saya rasa perlu Menteri Besar (Ahmad Razif) pastikan jangan berulang dengan perkara yang sama, Insya’Allah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di lokasi projek KT-Bypass itu di Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, pada Selasa 17 Oktober.
Mohd Abdul Wahid yang merupakan wakil rakyat enam penggal selama 27 tahun mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam melahirkan rasa simpati dengan nasib penduduk terbabit.
“Saya telah mewakili DUN Wakaf Mempelam ini selama 27 tahun atau enam penggal. Barang kali dihujung sesi perkhidmatan saya ini macam-macam ujianlah kepada penduduk di Dun Wakaf Mempelam ini.
“Saya hendak jelaskan, kita (PAS) bukan anti pembangunan sebenarnya. Pembangunan perlu kerana jalan perlu dibesarkan, jalan perlu diperbanyakkan, kereta makin bertambah.
“Ini satu keperluan untuk rakyat. Tetapi, apabila melibatkan pembangunan, yang melibatkan tanah rakyat kita kena berlaku keadilan. Kerajaan kena bayar pampasan,” jelasnya.
Menurutnya, sewaktu pemerintahan kerajaan PAS Terengganu 1999-2004 pernah menggantikan tanah dan bayaran pampasan kepada penduduk terhadap isu pengambilan balik tanah.