KUALA TERENGGANU – “Walau apa pun cabaran dan dugaan yang kita tempuhi dalam jemaah, jangan lari daripada jemaah. Kalau kita lari, kita yang rugi, jemaah tidak rugi,”
Itulah kata-kata yang sangat melekat dalam hati Penerima Anugerah Sayiditina Asma’, Ustazah Norul Suhada Abdul Wahab, 40 untuk terus gagah mengatur langkah dalam perjuangan nabi-nabi itu, sumber kekuatan yang ditinggalkan oleh suami tercinta, Almarhum Ahmad Firdaus Bin Mohd@Mohd Hamdan.
“Bahkan, apabila saya berdepan dengan masalah atau mula rasa letih dan futur dalam perjuangan, dialah antara orang yang selalu memberikan semangat kepada saya, itulah kata-kata arwah yang sampai hari ini masih saya pegang,”
ujar ibu tunggal yang mempunyai tujuh cahaya mata itu.
Penerima anugerah sempena Muktamar Tahunan Muslimat PAS Terengganu kali ke 53 itu berkata demikian ketika dihubungi di sini semalam.
Padanya, walaupun suami tiada di sisi beliau akan tetap meneruskan impian bersama, ingin anak-anak bukan sahaja berjaya dalam pelajaran dunia, tetapi mempunyai asas agama yang kuat, menjadi hafizah-hafizah Al-Quran.serta melihat anak-anak menjadi penyambung mata rantai perjuangan.
“Ada yang menjadi wakil Pemuda, wakil AMEERAH, wakil Briged, wakil ulama, wakil Amal terus menyumbang dalam perjuangan Islam mengikut kemampuan dan jalan masing-masing.
“Dan hari ini, selepas arwah pergi, impian itu masih saya simpan, saya mahu terus mendidik anak-anak dengan semangat yang pernah kami bina bersama, supaya apa yang kami perjuangkan tidak berakhir dengan kami, tetapi menjadi mata rantai yang terus bersambung hingga ke generasi seterusnya,” ujarnya penuh ketabahan.
Katanya, beliau sedar, tidak mampu menggantikan tempat seorang ayah sepenuhnya. tetapi yakin, Allah yang telah mengamanahkan anak-anak dan Dia juga yang akan memberikan kekuatan untuknya mendidik dan membesarkan mereka.
“Jadi, perjalanan mendidik anak-anak ini saya anggap sebagai amanah, perjuangan dan juga tarbiyah untuk diri saya sendiri, ” kata ibu muda yang tidak pernah beralasan anak-anak penghalang untuk beliau bergerak dalam setiap tugasan jemaah.
Ustazah Suhada yang mendapat pendidikan menengah di Darul Qur’an, Rusila seterusnya menyambung pengajian di Syria adalah mantan Ketua Ameerah Kuala Terengganu dan Batu Buruk itu juga merupakan Ketua Briged Muslimat Kuala Terengganu.
Menurutnya, dalam perjuangan, kita tidak semestinya perlu menjadi orang yang paling lama berada di situ.
“Kadang-kadang Allah menghantar kita pada waktu yang tepat, untuk melaksanakan peranan yang telah Dia tetapkan,
“AMEERAH memberi saya pengalaman,
BRIGED Muslimat memberi saya ruang untuk meneruskan pengalaman itu dengan generasi yang lebih muda”.
Beliau turut berharap agar generasi muda yang akan meneruskan perjuangan ini, meneruskan dengan semangat dan istiqamah dalam jemaah.
“Saya faham, cabaran anak muda hari ini berbeza, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, anak-anak, kerjaya dan kehidupan masing-masing, jangan merasakan semua itu menjadi halangan untuk terus bersama jemaah.
“Tetapi sebenarnya, ia bukan alasan untuk kita meninggalkan perjuangan, kalau hati kita benar-benar mahu bersama jemaah, kita perlu kuat untuk mengatur kehidupan dan mencari ruang untuk terus menyumbang,” tegasnya.
Ujarnya, tidak semestinya kita mampu memberikan seluruh masa dan tenaga seperti dahulu, setiap orang mempunyai kemampuan dan keadaan yang berbeza.
“Sebab itu saya selalu pegang satu prinsip kalau kita tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua, ambillah bahagian yang kita mampu, walaupun sedikit masa, sedikit tenaga atau sedikit sumbangan, tetaplah infakkan untuk perjuangan.
“Jangan rasa sumbangan kita kecil, yang penting kita terus istiqamah dan tidak memutuskan mata rantai perjuangan,” jelasnya.





























