Jagalah Hubungan Sesama Ahli

245

Oleh:Amirullah Mansor

DUNGUN – Anggota Jabatan Amal Kawasan Dungun (JAKD) diingatkan agar sentiasa menjaga dan memelihara hubungan erat dalam berjemaah sesama mereka juga ahli Parti Islam Se-Malaysia(PAS) .

Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Fadhli Rahmi Zulkefli berkata, jagalah ukhuwah antara kita dan jangan timbulkan pertelingkahan sesama kumpulan.

“Kalau terdapat pemasalahan, selesailah dengan segera dengan berhemah. Jangan biarkan ia berpanjangan sehingga mengeruhkan keadaan apabila bertugas,” katanya.

Jelasnya lagi, biasakan diri pergi bertugas atau berprogram bersama-sama dan tidak pergi berseorangan.

“Apabila ada program dimana-mana sekalipun, bermusafir dan pergilah dengan sebuah kereta beramai – ramai dan tidak memandu sendiri.”

“Bila kita sentiasa bertemu, berprogram sekali, lama-lama rasa ukhuwah lebih tererat dan terbinanya ukhuwah yang kukuh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Hari Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Amal Kawasan Dungun di dewan Wisma Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun(DPPKD) semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan agar manfaatkan sebaik mungkin masa dengan penglibatan dengan Jabatan Amal.

“Ilmu tidak semestinya di sekolah atau pusat pengajian, tetapi apabila kita berorganisasi ilmu jati diri akan diterapkan.”

“Banyak ilmu-ilmu yang kita boleh pelajari apabila menyertai organisasi ini,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu mengingatkan, ikhlaskan diri dalam melakukan kerja amal tersebut.

“Walaupun tiada elaun dan upahan, kita kena yakin pahala Allah sentiasa dicatat apabila kita ikhlas melakukan kerja.”

“Bahkan, pada zaman Nabi dahuku, sahabat – sahabat berjuang tidak nampak ganjaran dunia tetapi apa yang mereka nampak adalah Syurga semata – mata,” katanya.