Isu Caj Klinik Gigi Kerajaan Mengelirukan!

5403

KUALA TERENGGANU – Isu peningkatan kadar caj rawatan pesakit luar klinik gigi kerajaan Malaysia yang dijadualkan berkuatkuasa pada 1Mac depan, sangat mengelirukan.

Menurut pengamal pergigian persendirian, Dr Azman Ibrahim, bukan sahaja orang ramai, bahkan di kalangan penjawat awam yang berkedudukan tinggi juga tidak dapat menjelaskan ‘rasional’ kenaikan bayaran khidmat tersebut.

“Kita tulis berulang kali untuk menjelaskan hakikat yang cuba dikelirukan berkaitan kenaikan mendadak caj pesakit luar di klinik gigi kerajaan bermula 1 Mac ini,

“Antara yang keliru dan cuba mengelirukan ialah Dato’ Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri apabila terus membangkitkan soal pesakit kelas 3 yang dikatakan percuma tapi hakikatnya kelas 3 ini tak wujud dalam perkhidmatan pergigian,”jelas beliau.

Dr Azman yang juga Ketua Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu berkata, pemerintah perlu mengetahui bahawa rakyat marhaen begitu bergantung kepada perkhidmatan pergigian kerajaan.

“(pada) tahun 1999 dan 2000 semasa berkhidmat di Kuala Terengganu dan Besut, biasa kita cabut gigi seramai lebih 80 orang pesakit satu pagi sahaja ketika hari rawatan pesakit luar,”ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai doktor gigi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Oleh itu, belau berkata, sepatutnya dengan kenaikan caj klinik gigi kerajaan ini, pemilik klinik gigi swasta boleh senyum sebab bila caj kerajaan dah mahal, tentu pesakit akan beralih ke swasta.

“Antara pemilik klinik swasta ialah saya……….dan saya boleh duduk diam sambil senyum saja,”katanya.

Namun, beliau tetap bersuara agar, peningkatan caj tersebut sesuai dengan keadaan hidup rakyat yang ‘dicekik’ kiri dan kanan, masa kini dengan pelbagai kenaikan haraga dan barangan keperluan hidup seharian.

“Tapi tidak!! Saya berada di medan perjuangan ini bukan untuk diri kita (saya). Tapi untuk masyarakat umum terutama rakyat marhaen,

“Bukalah klinik gigi kerajaan seberapa banyak pun, tumbuhlah klinik gigi swasta macam cendawan pun, saya tetap yakin dengan rezeki Allah yang diperuntukkan bahagian saya, isteri dan anak-anak serta untuk dikongsi dengan orang lain,”jelas beliau lagi.

Justeru beliau menyeru agar pembuat dasar di KKM tidak terikut-ikut dengan rentak orang politik, yang sebahagiannya hanya memikirkan keuntungan diri sendiri dan kelompok masing-masing.

Katanya, kerajaan tidak akan jatuh miskin den bankrap kerana memnerikan perkhidmatan dan caj yang murah kepada rakyat.

“yang menjadikan negara muflis……..tergadai sebagaimana beberapa buah negara yang hampir tergadai di duna ini ialah ahli-ahli politik yang rakus dan para ‘businessman’ yang tamak,

“bukannya kerana Kementerian dan jabatan-jabatan memberikan khidmat percuma atau dengan harga minima kepada rakyat,”katanya