DUNGUN – Laporan akhbar New York Times yang mengaitkan unsur-unsur rasuah dalam kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi amat penting kerana melibatkan soal intergriti dan keyakinan pelabur.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata ia akan membawa kesan kepada ekonomi negara apabila para pelabur tidak yakin tentang ketelusan dan tadbir urus negeri dan negara.
“(kita) mengambil maklum tentang apa yang berlaku dari laporan akhbar New York Times, kerana soal yang sangat penting ialah apabila ada unsur-unsur yang dikaitkan dengan rasuah dalam urusan pentadbiran, rasuah yang melibatkan soal perlombongan ini,
“ia tidak hanya terhenti di situ sahaja. Tetapi ia akan menyebabkan krisis keyakinan pelaburan yang melibatkan pelabur-pelabur akan berfikir membawa masalah apabila mereka ingin melabur di dalam negara kita dan negeri kita, negeri Terengganu ini,”ujarnya.
http://youtu.be/07YYbXi1NIY
Beliau berkata demikian pada program ‘Edisi Bongkar Bukit Besi’ yang di adakan di Bandar Dungun pada Sabtu 6 Disember.
Selaku Yang Dipertua PAS Dungun, bersempena dengan program tersebut, beliau mengumumkan PAS Kawasan Dungun telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Isu Bukit Besi yang akan meneliti setiap perkembangan berkaitan.
“(program) ini adalah program pelancaran, membabitkan isu perlombongan bijih besi di bukit besi. Dan hari ini kita lancar ini sebab kita tubuhkan satu jawatankuasa bertindak,
“di peringkat PAS kawasan Dungun, (untuk) mengambil maklum tentang apa yang berlaku,”jelas beliau.
Secara perbandingan, menurut beliau, industri perlombongan bijih besi yang berjalan sebelum ia ditutup pada tahun 1970 telah membawa limpahan ekonomi kepada seluruh daerah Dungun.
Sebaliknya, apabila industri tersebut dibuka semula sejak beberapa tahun lalu, ia tidak membawa sebarang perubahan kepada penduduk Dungun bahkan penduduk Bukit Besi sendiri.
Untuk kita melihat isu ini, kesan kepada ekonomi, apabila ia benar diuruskan, seperti yang pernah berlaku pada perlombongan di bukit besi dahulu,
“kita lihat bagaimana kawasan yang kita duduk ini adalah kawasan perhentian terakhir perjalanan keretapi daripada Dungun, ke Bukit Besi. Satu-satunya negeri yang tiada perkhidmatan keretapi,
“Tetapi agak malang, apabila selepas daripada penamatan perlombongan ini dan dibuka untuk kali yang kedua ini, limpahan ekonomi ini tidak mengalir kepada penduduk bukit besi. Tidak mengalir kepada penduduk Dungun,”tegasnya.
Justeru beliau menggesa agar kerajaan negeri Terengganu menguruskan sumber hasil bumi tersebut dengan baik agar membawa limpahan kepada penduduk.
“(PAS melihat) bukan sahaja melibatkan soal perlombongan bijih besi tetapi juga (ia mesti) menarik keyakinan pelaburan daripada luar negara,
“supaya dapat memajukan Terengganu ini supaya menjadi salah satu daripada negeri yang mendapat limpahan daripada sumber alam,”ujarnya lagi










