Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah
Alhamdulillah segala puji bagi tuhan sekelian alam yang dengan limpah kurnia dan keizinannya telah memberikan kita lagi peluang untuk duduk didalam madrasah Ramadhan ini. Bulan yang dijanjikan keampunan, kerahmatan dan juga perlepasan dari api neraka. Dalamnya terdapat satu malam yang menyamai 1000 bulan. Diganjarkan pahala ibadat sunat dengan pahala ibadat wajib. Ibadat wajib pula digandakan dengan berlipat kali ganda. Semua ibadat ini jika dilakukan dengan betul syariatnya dan lurus niatnya akan diberikan jaminan kita menjadi orang muttaqin oleh Allah.
Dalam kita mengharapkan yang terbaik daripada madrasah Ramadhan ini, suka saya mengajak semua mengimbau kembali detik-detik sukar kita dalam beberapa waktu yang lalu. Imbauan ini adalah untuk kita menginsafi diri kita yang penuh dengan dosa dan kelemahan yang semestinya kita perbaiki. Kita sebenarnya telah mengalami musibah yang teruk zahir dan batin. Kita mengalami banjir yang dahsyat di banyak tempat pada awal tahun ini. Kita mendapat gempa bumi yang mengorbankan nyawa walaupun kita berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik. Manakala musibah batin pula seperti isu GST, kenaikan harga minyak, 1MDB, perbalahan politik yang berpanjangan, kejatuhan nilai mata wang, saham Felda yang digantung dan dikatakan juga kita sedang menuju kepada kepada krisis ekonomi 1997.
Semua isu ini mungkin akan menjadi penyebab kepada menurunnya tumpuan ibadat kita dalam bulan Ramadhan ini. Isu-isu ini akan merimaskan kita jika tidak ditangani dengan betul. Saya mengambil isu ekonomi sebagai contoh. Akibat daripada krisis ekonomi seperti kejatuhan mata wang, harga barang akan menjadi mahal. Mengikut teori mudah atau asas ekonomi, inflasi akan meningkat, pengangguran meningkat dan kadar simpanan akan ditingkatkan bagi mengawal perbelanjaan. Keadaan ini pastinya akan menambah kegusaran kepada rakyat yang tidak cukup makan atau bergaji kecil. Tetapi mungkin ada yang tidak sedar, apabila semua ini berlaku maka kadar jenayah juga turut meningkat. Apatah lagi dengan waktu ini menghampiri musim perayaan. Maka akan semakin tinggilah kadarnya nanti. Tanpa kita sedari ini adalah antara bala yang Allah turunkan kepada kita hasil dari kejahatan tangan-tangan kita semua.
Keyakinan pelabur turut hilang. Kesannya akan kembali kepada rakyat. Lihatlah bagaimana saham Felda yang merudum jatuh, yang kemudiannya digantung urusniaganya. Tidakkah kasihan kepada warga Felda yang bertungkus lumus membuka tanah rancangan dengan tulang empat kerat mereka, akhirnya berkemungkinan mereka akan berhutang dek kerana saham yang mereka beli melalui pinjaman itu. Lebih memeritkan lagi, mereka jugalah tempat simpanan tetap Umno di semenanjung dalam pilihanraya, serta merekalah yang paling ke depan mempertahan rancangan kerajaan membawa Felda ke Bursa Saham. Sepatutnya mereka yang digelar ‘Pahlawan Cangkul’ ini mendapat keistimewaan dari Umno. Tetapi beginilah cara Umno membalasnya.
Begitu juga yang terjadi dengan isu pengambilan tanah penduduk Banggol Donas di Terengganu yang kebanyakan mereka dahulu ialah penyokong Umno. Dan sekarang Umno bergerak pula ke Kampung Laut secara tersembunyi bagi mengambil 500 ekar tanah melayu untuk diberikan kepada syarikat besar yang ada di dalamnya kira-kira 50 ekar tanah melayu yang sedang didiami. Begitulah sikap kerajaan Umno yang begitu cekap dalam kerja-kerja mengambil hak rakyat. Ledakan kemarahan bukan sahaja datang dari orang biasa, malah sehinggakan JKKK Kampung laut juga turut terlibat menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menghalang projek ini.
Oleh itu dalam bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri masing-masing agar kita menjadi hambaNya yang taat. Kita sedaya upaya membuang kekusutan yang melingkari negara kita. Mari kita sama-sama membuang kebejatan ini dengan mendoakan agar masyarakat kita dijauhkan dari kejahatan orang yang berniat jahat dari luar dan dalam. Ketika ditawarkan doa yang mustajab bagi orang yang berpuasa, marilah kita dengan rendah diri mengangkat tangan berdoa memohon agar segala musibah ini dihilangkan dalam kehidupan kita dan diganti dengan keredhaan Allah, rahmat serta keampunanNya. Gunakanlah sebaik-baiknya peluang Ramadhan ini supaya kita semua benar-benar menjadi hamba yang bertaqwa dengan ibadah yang sempurna. Selamat menyambut Ramadhan, semoga diterima segala amalan kita. Maka saya menyeru semua dari kalangan kita agar Beristiqamah Hingga Kemenangan iaitu beristiqamah dalam perjuangan hingga kemenangan dalam perjuangan, istiqamah dalam ibadat kita hingga kemenangan dengan menjadi orang bertaqwa dan istiqamah dalam keimanan hingga kemenangan dengan mendapat syurga Allah. Ya Allah berikanlah ramadhan kepada kami, dan kami kembalikannya kepada Mu dengan Engkau menerima segala amalan kami. Amiin. Wallahua’lam.
***YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ialah Adun Bukit Payong Terengganu





























