Israel tutup laluan ke Masjid Al-Aqsa

778

Israel dilaporkan telah menutup laluan ke Masjid Al-Aqsa di sini semalam atas apa yang didakwanya sebagai sebab-sebab keselamatan.

‘Atas arahan daripada majlis bandaran, mereka telah menutup laluan itu,’ kata jurucakap polis, Encik Luba Samri, yang merujuk kepada Yayasan Warisan Tembok Barat.

Pada lewat bulan lalu, Israel dilaporkan menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan itu berikutan kebimbangan meletusnya gelombang bantahan di Dunia Arab dan Islam.

Sebuah stesen radio melaporkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan protes anti-Israel di Mesir ketika negara jirannya itu mengadakan pilihan raya parlimen pertama selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Pada 23 Oktober lalu, Majlis Bandaran Baitulmakdis melaporkan ia diarah merobohkan laluan itu.

Struktur kayu yang juga sebahagian daripada plaza yang menempatkan Masjid Al-Aqsa dan luar tembok kota lama itu telah lama menjadi punca pertelingkahan antara Majlis Bandaran Baitulmakdis dengan masyarakat Islam serta Yahudi.

Laluan tersebut dibina dari tembok kota lama (tapak suci Yahudi), bersambung ke kawasan yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci bagi umat Islam yang juga dikenali sebagai Haram Al-Sharif.

Ia dibina pada 2004 sebagai laluan sementara selepas struktur sebelum ini roboh dan digunakan oleh pelawat bukan Islam serta tentera Israel bagi memasuki kawasan kota lama.

Operasi membaik pulih itu tertangguh empat tahun lalu berikutan satu gelombang bantahan di seluruh negara Islam berhubung kebimbangan kerja-kerja pembinaan itu mungkin membahayakan struktur terbabit.

Jemaah Islam tidak menggunakan laluan itu bagi memasuki Masjid Aqsa tetapi menggunakan beberapa pintu masuk lain.

Sebelum ini, Jordan mengecam tindakan Israel itu dan menyifatkan kerja-kerja pembaikan itu sebagai satu tindakan ‘sepihak’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana Jordan, Raja Abdullah II menggesa Israel supaya ‘mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh mengubah ciri-ciri Baitulmakdis atau menjejas tapak suci Islam dan Kristian di Kota Suci’. — AP, AFP.